
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata belanjawan itu juga digarap selaras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan kerangka Ekonomi Madani.
“Antara fokus utama belanjawan kali ini memastikan sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan diperkukuh bagi menambah baik taraf hidup rakyat.
“Ini tahun pertama RMK13, jadi kita mahu elemen-elemen penting dalam rancangan ini diterjemahkan dalam Belanjawan 2026,” katanya selepas melancarkan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (Meka) 2025.
Menurut Amir, pembaharuan dalam sektor utama itu juga sebahagian daripada agenda kerajaan memperkukuh pembangunan negara dan melonjakkan Malaysia ke arah status berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kita berharap taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan, manakala tadbir urus kerajaan diperkemas agar penyampaian perkhidmatan lebih berkesan. Dengan usaha ini, pembangunan negara dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau juga optimis Malaysia kekal berada di landasan tepat, dengan KDNK mencatat pertumbuhan 4.4% pada separuh pertama tahun ini, manakala inflasi terkawal pada tahap 1.3% berbanding 1.9% tahun lalu.