Himpunan 26 Julai, tuntutan politik atau realiti demokrasi

Himpunan 26 Julai, tuntutan politik atau realiti demokrasi

PN dilihat cenderung guna himpunan berbanding kemuka usul tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat.

Mengikut laman sesawang Perbadanan Stadium Malaysia, kapasiti tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil berjumlah 85,000. Diandaikan jika satu perhimpunan dianjurkan dengan semua peserta duduk di kerusi, 85,000 orang akan menghadirinya.

Jika 300,000 orang hadir pada perhimpunan itu, penganjur memerlukan tiga stadium terbabit untuk menempatkan 255,000 orang manakala selebihnya terpaksa berkumpul di pekarangannya selain Arena Axiata yang boleh memuatkan 16,000 individu.

Mungkin itu gambaran awal boleh difikirkan pada masa ini bagi menggambarkan kesesakan laut manusia di ibu negara yang diimaginasikan oleh Pemuda PAS dalam penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar pada 26 Julai depan.

Kelmarin, Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden mengumumkan peningkatan sasaran peserta kepada 300,000 berbanding 50,000 orang sebelum ini.

Ahli Parlimen Alor Setar itu menjelaskan peningkatan terbabit berdasarkan maklum balas ahli parti gabungan dan orang awam yang menyatakan komitmen untuk hadir berhimpun.

“Mereka hendak hadir lebih ramai daripada apa yang kita umum, jadi kita pun dapat kiraan, dalam kalangan parti kita pun sudah cecah 100,000.

“Jadi kita anggarkan, (dengan) ahli parti komponen Perikatan Nasional (PN), orang awam, pihak berkepentingan, individu-individu yang berpengaruh, kehadiran akan mencecah sekitar 300,000 pada hari himpunan,” kata Afnan yang juga ketua Pemuda PN.

Afnan turut dipetik berkata, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menyambut kelahiran ke-100 juga akan bersama peserta perhimpunan yang akan berkumpul di Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni.

Dengan kehadiran seramai itu boleh digambarkan bagaimana kesesakan di kawasan terbabit pada hujung minggu itu. Mungkin ada terpaksa membatalkan hasrat memasuki ibu negara kerana tidak ingin ‘terkandas’.

Dikhabarkan penganjur mahu membawa isu ekonomi, lantikan ketua hakim, pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan hal berkait anak muda.

Tetapi, hakikat sebenar objektif utamanya untuk mendesak Anwar Ibrahim turun dari kerusi perdana menteri disandangnya sejak November 2022.

Mungkin juga pembangkang mahu memulakan momentum dalam menuju PRU16 yang perlu diadakan selepas 2027. Ruang itu mahu digunakan untuk membakar sentimen yang diharapkan mampu terus menyala untuk dua atau tiga tahun lagi.

Namun, mendesak Anwar turun dari jawatan sepatutnya dibuat secara demokrasi untuk mengelakkan ketidakstabilan – perkara terakhir diperlukan ketika negara dalam proses untuk membangun baik dari segi ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Ada beberapa pilihan iaitu pertama menunggu PRU atau kedua melalui usul undi percaya atau tidak percaya di Parlimen.

Mungkin jika melalui PRU16, tempoh menunggunya lebih lama kecuali Anwar memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, yang tidak akan berlaku dalam masa terdekat atau seawal tahun ini.

PN mungkin boleh memilih untuk membuat usul tidak percaya terhadap Anwar di Dewan Rakyat. Kebetulannya, Parlimen mula bersidang pada 21 Julai, lima hari sebelum perhimpunan anjuran Pemuda PAS.

Namun, berdasarkan perkembangan sebelum ini, PN mungkin tidak mengemukakan usul terbabit. Anwar sendiri pernah mencabar mereka berbuat demikian sebanyak tiga kali iaitu pada 6 Mei 2023, 11 Jan 2024 dan 20 Sept 2024.

Semuanya tidak disahut. Mungkin mereka merasakan sukar untuk memenangi undian jika ada usul tidak percaya diadakan.

Seperti diperkatakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang Anwar kini menikmati sokongan 154 Ahli Parlimen, lebih dua pertiga daripada 222 ahli Dewan Rakyat secara keseluruhan.

Jadi, perhimpunan 26 Julai depan bukan untuk menjejaskan kedudukan Anwar sebaliknya untuk meningkatkan momentum bagi PRU16.

Kalau pun PN yakin dapat menurunkan Anwar sekarang (berdasarkan nama himpunan), siapa calon perdana menteri mereka?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.