Nenggiri bukan hanya perlu ‘YB’ baharu

Nenggiri bukan hanya perlu ‘YB’ baharu

Isu ketiadaan mesin juruwang automatik di Nenggiri sejak puluhan tahun lalu menjadi contoh kekurangan kemudahan di kawasan itu.

gua musang

Esok seramai 20,259 pemilih DUN Nenggiri akan memilih ‘Yang Berhormat’ baharu menggantikan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim yang diminta mengosongkan kerusi dimenanginya PRN Ogos tahun lalu, selepas terlucut keahlian Bersatu susulan menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Menyorot kembali PRN Kelantan Ogos tahun lalu, Azizi yang ketika itu ahli Bersatu dan bertanding atas tiket PAS menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Namun khidmat Azizi tidak sampai setahun apabila DUN Kelantan mengisytiharkan kerusinya kosong, Jun lalu. Walaupun pengisytiharan sokongan kepada Anwar dibuat atas kapasiti Ahli Parlimen Gua Musang namun status Adun Nenggiri turut terjejas selaras akta anti lompat parti.

Bagaimanapun, nasibnya di Parlimen lebih baik apabila statusnya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang dikekalkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul. Sebagai rekod, Azizi turut bertanding atas tiket PAS pada PRU15 menewaskan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Berbalik kepada PRK Nenggiri, pengundi pastinya telah mempunyai pertimbangan jelas selepas kempen 14 hari. Ada dua nama bakal tertera pada kertas undi iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN dan Rizwadi Ismail dari Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo PAS.

Meskipun PRK ini tidak akan mengubah pentadbiran Kelantan yang kukuh di bawah PAS dan Bersatu, namun tumpuan ke atasnya tetap ada. Pilihan raya kecil itu meneruskan suhu politik tanah air yang terus hangat sejak PRU14.

Jika BN menang, wakil pembangkang akan bertambah kepada tiga manakala PN kekal dengan penguasaan sebanyak 43 kerusi. Lebih daripada dua pertiga majoriti

FMT turut terbabit dalam proses demokrasi di Nenggiri itu apabila menghantar wakilnya Faiz Zainudin untuk membuat liputan bermula dari penamaan calon 3 Ogos lalu, kempen dan jika tiada aral melintang, kemuncaknya iaitu proses pengundian berlangsung esok.

Antara isu dilaporkan termasuk kesukaran penduduk membuat transaksi perbankan antaranya untuk mengeluarkan duit kerana ketiadaan mesin juruwang automatik (ATM) di Nenggiri dan pencemaran Sungai Temer yang menjejaskan sumber air bagi Kampung Orang Asli Pos Pasik.

Turut dilaporkan isu pemilikan tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang menimbulkan polemik di antara kerajaan pusat dan Kelantan kerana kedua-duanya mendakwa mempunyai kuasa meluluskan.

Namun dalam senarai itu, masalah ketiadaan ATM menarik banyak perhatian. Pendedahan itu menjadi perbualan ramai yang simpati dengan nasib penduduk Nenggiri yang terpaksa ke bandar Gua Musang atau Dabong untuk mengeluarkan duit.

“Bila cakap nak mesin ATM orang luar mungkin gelak tapi hanya kita di pedalaman ini sahaja dapat rasa betapa pentingnya termasuk untuk kirim duit kepada anak-anak di universiti.

“Malah ada keluarga kami tinggal di Kuala Sungai terpaksa naik bot 30 minit kemudian sambung guna kereta untuk ke bandar Gua Musang.”

Itu luahan Suriani Mustafa, 47, dari Kampung Bertam Lama yang tidak malu untuk mengakui kekurangan mereka dan tidak kisah jika permintaan itu dianggap melucukan oleh masyarakat luar DUN berkenaan.

Namun penantian mereka berakhir kelmarin apabila sebuah ATM pertama di DUN itu telah ditempatkan di sebuah premis di Kampung Jerek.

Mesin itu hadir beberapa hari selepas Kementerian Kewangan memaklumkan pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk, susulan laporan media berkait masalah terbabit.

Berdasarkan penceritaan Faiz lagi, masih banyak kekurangan ada di Nenggiri termasuk usaha untuk menarik pelabur untuk mewujudkan pekan kecil bagi keselesaan penduduk. Ketika ini, pengunjung dari luar terpaksa menetap hotel di Gua Musang, terletak hampir 50 kilometer.

Kesimpulannya, PRK Nenggiri ini sebenarnya bukan untuk mencari Adun baharu menggantikan Azizi semata-mata, tetapi sepatutnya membuka mata kepada pelbagai pihak untuk menyelesaikan kekurangan kemudahan asas serta taraf ekonomi di DUN terbabit.

Tiada guna ada ‘Yang Berhormat’ baharu tetapi nasib penduduk dan kawasan itu tidak berubah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.