
Normal untuk mereka yang mengambil vaksin mendapat kesan sampingan tertentu. Antara kesan vaksin yang lazim ialah pening kepala, mual, demam dan selesema.
Namun, tahukah anda, ada wanita yang mengalami perubahan saiz payudara setelah mengambil vaksin?
Tetapi, benarkah ini kesan vaksin atau tanda penyakit yang serius?
Untuk pengetahuan anda, wanita mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mengalami kesan vaksin yang lebih teruk berbanding lelaki.
Bukan itu sahaja, selain kesan sampingan vaksin yang biasa, kitaran haid wanita juga mungkin akan terganggu!
Tetapi, apakah yang membuatkan wanita melaporkan perubahan dalam saiz payudara mereka? Sebenarnya, ada penjelasan yang mudah di sebalik fenomena ini.
Kesan vaksin buat payudara membesar, mengapa?
Menurut pakar, bukan buah dada wanita yang membesar, sebaliknya, nodus limfa yang membengkak! Kesan vaksin ini juga merupakan sesuatu yang lazim.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), 11% individu mengalami kesan sampingan ini setelah mendapat vaksin Moderna. Malah, jumlah ini meningkat ke 16% selepas mengambil suntikan kedua.
Mungkin ramai wanita yang rasa teruja dengan kesan sampingan ini kerana ia dilaporkan boleh berkekalan selama 4 hingga 12 minggu.
Walau bagaimanapun, ada juga wanita yang panik dan terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Disebabkan kesan vaksin ini, ramai juga wanita yang bertindak melakukan pemeriksaan mamogram kerana risau ia berlaku disebabkan kanser payudara.
Menurut Dr. Maurie Markman, ada banyak punca yang menyebabkan nodus limfa menjadi bengkak. Selain kanser, vaksinasi atau penyakit seperti demam panas juga boleh menyebabkan kesan yang sama.
Malah, nodus limfa yang membengkak merupakan sesuatu yang biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ia merupakan tanda sistem imun anda sedang melawan jangkitan ataupun penyakit.
Walau bagaimanapun, jika nodus limfa anda membengkak tanpa sebarang sebab, berjumpalah doktor dengan segera untuk memastikan ia tidak berpunca daripada penyakit yang serius.
Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]