
Peguam Abdul Rashid Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Rasyiq Alwi menyiarkan kenyataan yang disangkal itu di media sosial untuk mempersendakan Khairy, yang bertanggungjawab menyelaras program vaksinasi Covid-19 negara.
Tambahnya, pendakwah yang turut dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq itu merujuk Khairy secara langsung dalam kenyataannya, termasuk memetik akaun media sosialnya.
Abdul Rashid berkata, pendakwah itu tidak menyesal, malah ‘memohon maaf’ secara sinis kepada Khairy selepas dokumen mahkamah disampaikan kepadanya.
Khairy memfailkan saman terhadap Rasyiq pada 2022 atas dakwaan dia ‘berbohong’ tentang status vaksinasi bekas menteri kesihatan itu.
Dakwanya, kenyataan Rasyiq itu menjejaskan usaha kerajaan membendung Covid-19.
Perbicaraan diteruskan semalam tanpa kehadiran Rasyiq, walaupun peguam Khairy telah memaklumkannya tentang tarikh itu.
Abdul Rashid hari ini berkata Rasyiq, walaupun tidak diwakili peguam, maklum bahawa perbicaraan telah ditetapkan minggu ini.
“Kami (peguam Khairy) telah mengambil inisiatif memaklumkan kepadanya mengenai pengurusan kes praperbicaraan (selepas peguam Rasyiq digugurkan pada 2023), dan dia menghadiri dua (sidang) sebelum ini.
“Dia berulang kali meminta penangguhan atas alasan perlu melantik peguam baharu atau dia tiada di Malaysia.
“Ketidakhadirannya yang berterusan menunjukkan (dia) sengaja tidak mengendahkan arahan mahkamah,” tambahnya.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan 15 April untuk keputusan dikeluarkan.