Covid-19 masih berisiko, pakar seru dapatkan vaksin terkini

Covid-19 masih berisiko, pakar seru dapatkan vaksin terkini

Walaupun ramai terima vaksin Covid-19, dos terdahulu mungkin tidak lagi beri perlindungan mencukupi terhadap varian terkini yang sedang menular.

Pakar berkata penting untuk mendapatkan vaksinasi terkini Covid-19 yang disesuaikan dengan varian semasa.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi disaran mendapatkan vaksinasi Covid-19 terkini yang disesuaikan dengan varian semasa bagi memastikan perlindungan lebih berkesan.

Pakar Perubatan Keluarga merangkap Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, berkata walaupun ramai rakyat Malaysia telah menerima vaksin Covid-19, dos terdahulu mungkin tidak lagi memberikan perlindungan mencukupi terhadap varian terkini yang sedang menular.

“Justeru, adalah penting untuk mendapatkan vaksinasi terkini yang disesuaikan dengan varian semasa.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga terus mengesyorkan agar individu dalam kumpulan berisiko tinggi mengekalkan status vaksinasi yang terkini, terutamanya bagi mereka yang merancang untuk melancong, menghadiri acara berskala besar, tinggal bersama warga emas atau individu yang mempunyai sistem imun yang lemah,” katanya dalam kenyataan.

KKM sebelum ini memaklumkan lebih 11,000 kes Covid-19 dilaporkan sejak Januari lalu, sekali gus menjadi isyarat jelas masyarakat tidak boleh leka walaupun jumlah itu masih di bawah paras amaran rasmi.

Megat berkata, individu yang telah divaksinasi lebih cenderung untuk pulih dengan cepat dan mengelakkan kemasukan ke hospital, selain mengurangkan risiko mengalami sindrom pasca-Covid-19 atau ‘long Covid’.

Beliau berkata, penting untuk menjalani ujian saringan seawal mungkin sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala seperti sakit tekak, keletihan, demam, sakit badan atau gangguan perut yang mungkin merupakan tanda awal jangkitan Covid-19.

“Sekiranya seseorang berasa kurang sihat dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, menjalani ujian bukan semata-mata untuk melindungi diri sendiri tetapi tindakan berkenaan turut membantu melindungi ahli keluarga dan komuniti di sekelilingnya.

“Kita kini mempunyai akses kepada rawatan yang berupaya mencegah komplikasi, namun keberkesanannya bergantung pada tindakan awal,” katanya.

Megat berkata, ujian awal dan vaksinasi bukan sahaja bermanfaat kepada individu tetapi juga membantu mencegah penularan dalam kalangan keluarga dan komuniti, memandangkan kebanyakan kes serius bermula dengan gejala ringan yang tidak diberi perhatian.

“Tanggungjawab ini bukan lagi bersifat peribadi semata-mata. Ia berkait rapat dengan usaha kita melindungi insan tersayang.

“Dengan menjalani ujian awal dan mendapatkan vaksinasi, kita turut membantu mengurangkan beban sistem kesihatan negara dan melindungi golongan yang paling mudah terjejas,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengesyorkan orang ramai untuk memanfaatkan aplikasi MySejahtera bagi menyemak kelayakan dos penggalak serta membuat tempahan janji temu dengan mudah.

Untuk maklumat lanjut mengenai gejala Covid-19, vaksinasi atau lokasi pusat ujian berhampiran, orang ramai boleh melayari aplikasi MySejahtera atau berunding dengan penyedia penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.