Aktiviti berbasikal memang seronok tapi awas gejala “Cyclist Palsy”

Aktiviti berbasikal memang seronok tapi awas gejala “Cyclist Palsy”

Kondisi ini terjadi kerana saraf di jari kelingking dan jari manis tertekan akibat terlalu lama memegang “handlebar”.

Sesuaikan posisi handlebar dengan tangan dalam keadaan yang paling selesa. (Gambar Rawpixel)

Berbasikal adalah salah satu aktiviti riadah yang paling popular sewaktu pandemik ini. Namun begitu tahukah anda, peminat sukan ini sebenarnya mempunyai ancaman penyakit cyclist palsy.

Apa itu cyclist palsy?

Cyclist palsy adalah rasa seakan kebas atau tidak selesa pada jari manis dan kelingking semasa berbasikal.

Kondisi yang juga dipanggil Guyon Canal Syndrome ini terjadi kerana saraf di jari kelingking dan jari manis tertekan akibat terlalu lama memegang “handlebar”.

Gejala

Gejala cyclist palsy hanya terjadi pada jari manis dan kelingking serta ia berlaku hanya apabila sedang atau setelah habis melakukan aktiviti berbasikal.

Selalunya, tanda-tanda anda mengalami cyclist palsy adalah:

  • Kebas
  • Rasa semut-semut
  • Sakit
  • Krem
  • Lemah pada kedua jari
  • Kekuatan genggaman menjadi lemah.

Gejala ini berbeza kepada setiap orang, bergantung kepada tahap keseriusan penyakit. Namun jika dibiarkan, gangguan ini akan menimbulkan gejala yang lebih berat.

Gangguan rasa semut-semut dan kebas pada jari manis dan kelingking akan hilang satu hingga dua hari.

Manakala gejala jari kelingking dan jari manis yang sukar diluruskan (claw hand), otot di antara ibu jari dan telunjuk kelihatan kempis, serta sukar melebar dan membengkokkan jari-jari boleh menimbulkan kecederaan yang lebih berat.

Penyebab

Terdapat pelbagai kenyataan yang mengatakan penyebab kepada cyclist palsy. Namun yang pasti, penyakit ini muncul apabila seseorang itu berbasikal dalam jangka waktu yang lama.

Apatah lagi jika menuruni bukit kerana tangan akan menampung sebahagian besar otot tubuh, menyebabkan beban yang lebih berat pada jari-jari tangan.

Berikut beberapa penyebab lain antaranya:

  • Tekanan yang terlalu besar atau lama pada tangan, mengakibatkan tekanan pada saraf ulnaris hingga menyekat aliran darah ke saraf tersebut.
  • Posisi pergelangan tangan yang melebar, sehingga mengakibatkan regangan pada saraf.
  • Kurangnya kekuatan otot dan kepenatan, yang mengakibatkan sebahagian besar beban bertumpu pada tangan.
  • Penggunaan sarung tangan yang tipis atau rosak.
  • Tekanan ban basikal yang terlalu tinggi, kecil dan tipis yang menyebabkan timbulnya getaran berlebihan pada tangan.
  • Posisi duduk yang terlalu tinggi atau handlebar yang terlalu rendah sehingga tangan terpaksa menampung beban tubuh.

Cara mencegah cyclist palsy

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mencegah cyclist palsy, antaranya:

  1. Gunakan alas yang baik pada handlebar atau tangan. Gunakan sarung tangan yang tebal untuk melindungi tangan.
  2. Sesuaikan posisi handlebar dengan tangan dalam keadaan yang paling selesa.
  3. Luruskan posisi pergelangan tangan.
  4. Apabila berbasikal jarak jauh atau dalam jangka waktu yang lama, tukar posisi tangan pada handlebar dengan kerap.
  5. Pastikan ukuran kasut anda tepat dan sesuaikan posisi “saddle” dan handlebar agar mendapatkan kedudukan yang baik.

Kesimpulannya

Tiada siapa melarang anda berbasikal namun, pastikan tubuh, tangan dan kaki berada pada kedudukan yang betul semasa berbasikal.

Sekiranya anda mengalami gejala cyclist palsy semasa atau selepas berbasikal, segeralah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.