Jurulatih berbasikal Sukma Terengganu maut ketika iringi latihan pelumba

Jurulatih berbasikal Sukma Terengganu maut ketika iringi latihan pelumba

Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan lori di laluan bertentangan.

Jurulatih skuad berbasikal Sukma Terengganu Muhammad Muslim Marzuki maut di lokasi kejadian. (Gambar Facebook Polis Kuantan)
PETALING JAYA:
Jurulatih skuad berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu Muhammad Muslim Marzuki maut akibat nahas ketika mengiringi latihan pelumba di KM52 Jalan Kuantan-Maran, Kuantan.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata insiden dipercayai berlaku pada 10 pagi dan Muhammad Muslim, 22, yang menunggang motosikal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa telah hilang kawalan menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya menurut Bernama.

Difahamkan mangsa, yang beralamat di Bandar Permaisuri, Terengganu, mengiringi latihan pelumba dari Kuantan ke Temerloh semasa kemalangan itu berlaku.

Wan Mohd Zahari berkata kemalangan itu, yang berlaku berhampiran pondok polis Paya Bungor, menyebabkan motosikal dinaiki mangsa rosak teruk manakala lori terbabit, yang dipandu lelaki berusia 43 tahun, mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan.

Beliau berkata mayat Muhammad Muslim dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.