Daging merah atau daging putih. Mana lebih sihat?

Daging merah atau daging putih. Mana lebih sihat?

Walaupun kelihatan berbeza dari segi warna, tetapi kedua-dua jenis daging ini mengandung berbagai zat gizi yang diperlukan tubuh. Malah, keduanya merupakan makanan sumber protin utama bagi manusia.

Daging merah memiliki kadar lemak lebih tinggi. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Daging merah sering dianggap sebagai punca berbagai jenis penyakit seperti diabetes, kanser dan penyakit jantung. Daging putih pula dianggap sebagai pilihan yang jauh lebih sihat.

Kedua-dua jenis daging ini memang dapat dilihat perbezaan warnanya, tapi bagaimana pula dengan kandungan gizi? Apakah daging putih lebih baik daripada daging merah atau sebaliknya?

Perbezaan daging merah dan daging putih

Daging putih mempunyai banyak asam lemak tidak jenuh yang baik untuk kesihatan jantung serta mampu mencegah berbagai penyakit degeneratif. (Gambar Rawpixel)

Daging merah ialah daging yang memiliki warna merah akibat pigmen yang dimiliki oleh haiwan tersebut. Ia mengandung lebih banyak mioglobin, protin penyimpan oksigen dan menyalurkannya ke jaringan otot. Jenis haiwan yang berdaging merah adalah lembu, kambing dan kerbau.

Manakala daging putih tidak mempunyai pigmen sebanyak daging merah dan kelihatan lebih putih. Jenis daging putih adalah ayam dan ikan.

Walaupun kelihatan berbeza dari segi warna tetapi kedua-dua jenis daging ini mengandung berbagai zat gizi yang diperlukan tubuh. Malah, keduanya merupakan makanan sumber protin utama bagi manusia.

Daging putih dan merah sama-sama mempunyai kadar mineral tinggi seperti, zat besi, dan zink yang penting untuk pertumbuhan serta peningkatan hemoglobin – zat yang berperanan dalam menghantarkan makanan ke sel tubuh.

Perbezaan utama kedua jenis daging ini adalah kadar lemak di dalamnya. Daging putih mengandung protin rendah lemak, sementara daging merah memiliki kadar lemak lebih tinggi.

Namun, kandungan nutrisi seperti zat besi, zink dan vitamin B juga lebih tinggi. Jenis zat besi pada daging merah lebih mudah diserap tubuh.

Namun, mengambil daging merah berlebihan akan meningkatkan risiko berbagai penyakit seperti kanser usus, penyakit jantung dan pembuluh darah, serta diabetes.

Malah, jika proses pengolahan daging dilakukan dalam suhu tinggi seperti memanggang, boleh menyebabkan munculnya zat karsinogenik penyebab kanser.

Bagaimana pula jika saya peminat daging merah?

Ikan mempunyai Omega 3 yang baik untuk kesihatan. (Gambar Rawpixel)

Tidak ada masalah jika anda penggemar daging yang berwarna merah daripada daging putih.

Anda cuma perlu memerhatikan jumlah daging yang anda makan agar jauh dari penyakit jantung akibat kadar kolesterol yang melonjak tinggi.

Berikut adalah saranan bila jika ingin mengambil daging lembu, kambing atau sejenisnya:

  • Pastikan jumpah daging yang dimakan hanyalah satu bahagian atau setara dengan ukuran setengah telapak tangan.
  • Pilih jenis daging yang tidak berlemak. Bahagian daging sirloin, loin atau ‘round’ adalah bahagian yang biasanya rendah atau bebas dari lemak.
  • Sekiranya masih ada lemak yang menempel di bahagian daging tersebut, sebaiknya rebus atau panggang terlebih dahulu agar lemak tersebut menjadi cair.
  • Pilih cara memasak yang sihat seperti merebus, menumis atau memanggang. Hindari daging yang digoreng kerana akan menyerap minyak lebih banyak lagi.

Bagi mereka yang menderita penyakit jantung atau ingin menurunkan berat badan, pilihlah daging ayam dan ikan. Tetapi hindari bahagian kulit dan bahagian yang berlemak kerana bahagian itu mengandungi lemak jenuh yang sangat tinggi.

Kesimpulannya

Hakikatnya, kedua-dua jenis daging ini berupaya meningkatkan kolesterol. Tetapi daging yang berwarna merah telah terbukti mempunyai tingkat kolesterol serta lemak jenuh yang lebih tinggi dibandingkan dengan daging ayam atau ikan.

Sedangkan daging putih seperti daging ayam dan ikan mempunyai banyak asam lemak tidak jenuh dan omega 3 yang baik untuk kesihatan jantung serta mampu mencegah berbagai penyakit degeneratif.

Jadi tidak ada larangan untuk tidak boleh makan daging lembu, kambing, kerbau atau sejenisnya. Cuma hadkan jumlah pengambilan daging.

Sayuran, produk olahan susu, biji-bijian atau kacang boleh menjadi pilihan yang lebih baik untuk mengawal kadar kolesterol.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.