
Biasanya kaum lelaki lebih gemar menjaga kereta atau gajet kegemaran mereka berbanding diri sendiri, betul tak? Tetapi bagaimana pula dengan tahap kesihatan?
Daripada bayi hinggalah ke warga emas, kita boleh lihat wanita kurang menghadapi masalah kesihatan berbanding kaum lelaki.
Walaupun jurang perbezaan antara jantina tidak jauh, tetapi secara purata dianggarkan individu lelaki akan mati 5 tahun lebih awal daripada pasangan mereka.
Ya, kita semua terdedah dan berisiko untuk menghidapi pelbagai jenis penyakit.
Namun berikut adalah 7 jenis masalah kesihatan yang lebih cenderung untuk dialami kaum lelaki.
Ketahui masalah kesihatan yang cenderung dialami lelaki dan cuba beri perhatian.
1. Kesihatan jantung
Penyakit berkaitan jantung datang dalam pelbagai bentuk. Semua variasi tersebut boleh menyebabkan komplikasi serius dan membawa maut jika tidak dikesan pada peringkat awal.
Dalam penyakit kardiovaskular, plak kolesterol secara perlahan-lahan akan menyekat arteri pada jantung dan otak.
Sekiranya plak menjadi tidak stabil, masalah darah beku akan terbentuk, menyekat arteri sekali gus menyebabkan serangan jantung atau strok.
Kaum lelaki perlu berusaha lebih keras untuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok, dengan cara:
- Memeriksa tahap kolesterol secara rutin setiap 5 tahun bermula pada usia 25 tahun
- Mengawal tekanan darah dan tahap kolesterol
- Cuba untuk berhenti merokok
- Melakukan aktiviti fizikal atau bersenam secara berkala, sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari
- Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Kurangkan pengambilan makanan tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans
2. Penyakit berkaitan pernafasan
Kebiasaannya, penyakit pernafasan bermula dengan ‘batuk akibat rokok’. Dari masa ke masa, batuk itu boleh menyebabkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti kanser paru-paru, emfisema atau COPD.
Kanser paru-paru boleh merebak pada peringkat awal. Selalunya sebelum ia membesar sehingga menyebabkan simptom atau sebelum dapat dikesan pada ujian sinar-X.
Pada ketika kanser dapat dikesan, ia mungkin sudah berada di peringkat yang kritikal dan sukar untuk disembuhkan.
Walaupun pendedahan kepada pekerjaan berbahaya seperti “asbestos” meningkatkan risiko, namun tabiat merokok masih menjadi faktor utama masalah kanser paru-paru.
3. Kanser kulit
Menurut Yayasan Kanser Kulit, dua pertiga kematian disebabkan “melanoma” pada 2013 adalah kaum lelaki. Jumlah ini adalah 2 kali ganda daripada wanita.
Anda boleh melindungi diri daripada kanser kulit dengan memakai pakaian berlengan dan berseluar panjang, memakai topi, cermin mata hitam dan pelindung matahari ketika di luar rumah.
4. Kanser prostat
Selain barah kulit, kanser prostat adalah barah yang paling biasa berlaku kepada kaum lelaki. Kebanyakan kanser prostat ini membesar dengan lambat dan jarang untuk berkembang.
Tetapi ada juga kanser yang agresif. Masalahnya kini adalah tidak terdapat ujian untuk mengenal pasti kanser mana yang lebih bahaya.
5. Diabetes
Penyakit ini sering berlaku tanpa sebarang simptom. Dari tahun ke tahun, peningkatan gula dalam darah menjadi tinggi hingga merebak ke air kencing.
Kekerapan kencing dan berasa haus menyebabkan ramai kaum lelaki melakukan pemeriksaan dengan doktor. Glukosa berlebihan akan bertindak seperti racun secara perlahan pada saluran darah dan saraf di mana-mana bahagian badan.
Serangan jantung, strok, masalah penglihatan (kebutaan), kegagalan buah pinggang dan amputasi (pemotongan anggota badan) adalah masalah kesihatan yang kerap berlaku kepada ribuan lelaki.
6. Disfungsi ereksi
Ia mungkin bukan masalah yang berbahaya atau mengancam nyawa kaum lelaki tetapi masih menunjukkan 1 keadaan kesihatan penting.
Lelaki dengan masalah disfungsi ereksi (ED), dilaporkan kurang menikmati hidup dan cenderung mengalami kemurungan.
ED atau mati pucuk sering berpunca daripada “atherosclerosis”, iaitu proses yang sama mengakibatkan serangan jantung dan strok.
Hakikatnya, mengalami ED secara kerap bermaksud saluran darah di seluruh badan berada dalam keadaan yang tidak begitu sempurna.
Doktor akan menganggap isu disfungsi ereksi ini sebagai tanda amaran awal untuk penyakit kardiovaskular.
7. Kemurungan dan membunuh diri
Kemurungan atau depresi bukan sekadar emosi yang tidak baik. Ia adalah 1 gangguan perasaan yang mempengaruhi badan dan kesihatan secara keseluruhan.
Ini membuktikan kemurungan mempunyai kaitan dengan hubungan minda badan, di mana bahan kimia otak dan hormon tekanan tidak seimbang.
Gangguan tidur, hilang selera makan dan mudah letih antara simptom yang mudah untuk dikenal pasti. Kajian menunjukkan lelaki yang mengalami kemurungan cenderung menghidapi penyakit jantung.
Lakukan perubahan
Kini anda sudah mengetahui 7 masalah kesihatan yang berisiko mempengaruhi kaum lelaki. Maka langkah seterusnya adalah untuk mengubah tabiat anda dan menjadi proaktif terhadap kesihatan.
Memahami risiko kesihatan dan mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko adalah 2 perkara berbeza yang saling berkaitan.
Buatlah pilihan yang bijak dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Impaknya mungkin lebih besar daripada apa yang anda tahu.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]