Masalah kesihatan antara alasan 30% peserta tak hadir PKLN

Masalah kesihatan antara alasan 30% peserta tak hadir PKLN

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata alasan utama lain ialah melanjutkan pengajian ke universiti.

plkn 2025
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata PLKN 3.0 masih dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya hanya akan bermula tahun depan. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Kira-kira 30% peserta daripada dua siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilaporkan gagal menghadiri latihan atas pelbagai alasan, kata Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, antara alasan utama ialah masalah kesihatan dan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Setakat ini, bagi setiap siri sebelum ini untuk PLKN 3.0 kita dapati sekitar 10% hingga 15% peserta tidak hadir. Kebanyakannya ada alasan tersendiri seperti sakit atau baru dapat tawaran universiti,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Kembara Lestari Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah di Felda Lok Heng Barat di sini.

Beliau berkata, PLKN 3.0 masih dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya hanya akan bermula tahun depan.

Program yang mengekalkan tempoh latihan 45 hari itu juga menerima maklum balas positif peserta, khususnya elemen latihan ketenteraan yang disifatkan memberi impak besar dalam membina disiplin dan jati diri.

“Peserta daripada dua siri terdahulu memberikan maklum balas baik dan meminta pengisian latihan ketenteraan dipertingkatkan.”

PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Jan hingga 25 Feb lalu.

Siri 2/2025 pula bermula 11 Mei hingga 24 Jun lalu, manakala Siri 3 bermula 7 Sept hingga 21 Okt ini di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah serta Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.