
Ahad lalu, bahagian itu meluluskan usul mencadangkan peralihan kepimpinan nasional secara terancang dengan mengangkat Timbalan Presiden Hamzah Zainudin sebagai pimpinan barisan utama.
Presiden Muhyiddin Yassin pula dicadangkan menjadi penasihat dan mentor manakala Naib Presiden Radzi Jidin ditugaskan mengendalikan hal ehwal pentadbiran.
Syaza Shukri berkata peralihan kepimpinan pada masa kini akan memanfaatan parti itu dengan Hamzah mempunyai masa mencukupi merancang dan menggubal strategi menjelang PRU16.
“Kalau ia berlaku kemudian, beliau hanya akan meneruskan kerja-kerja Muhyiddin dan bukannya memperkenalkan perancangan serta strateginya sendiri,” kata penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada FMT.
Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson Akkil Aizat Othman yang membentangkan usul itu berkata parti itu perlu mengambil pendekatan politik lebih agresif, serta melakukan reformasi dalam sistem disiplin dan komunikasi untuk memperkukuh perpaduan dalaman serta penyampaian mesej kepada umum.
Beliau turut menyatakan parti memerlukan kestabilan dan hala tuju lebih jelas menjelang PRU16, sambil menambah persiapan Bersatu setakat ini ‘terlalu perlahan’.
Perlu kepimpinan kukuh
Syaza berkata kelembapan ini mungkin berpunca daripada Muhyiddin yang tidak menonjolkan imej kepimpinan kuat diperlukan Bersatu sebagai parti pembangkang.
“Hamzah banyak bergerak, tetapi kita jarang dengar daripada Muhyiddin.
“Tetapi lebih daripada itu, Bersatu sebagai parti masih belum menemui kekuatan tersendiri dan oleh itu belum mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh. Jadi ini adalah gabungan kedua-dua faktor,” tambahnya.
Beberapa bulan kebelakangan ini, spekulasi mengenai kepimpinan Bersatu semakin memuncak, dengan sesetengah pihak mendesak Hamzah mengambil alih teraju, manakala kumpulan yang menyokong Azmin Ali pula mahukan Muhyiddin terus kekal sebagai presiden.
Syaza berkata sekiranya desakan untuk perubahan kepimpinan berterusan, Bersatu mungkin akan memilih untuk mengekalkan Muhyiddin demi kestabilan parti.
“Seperti kebanyakan parti di Malaysia, mereka cenderung untuk mengekalkan status quo dan tidak mencabar kepimpinan,” katanya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga bersetuju Bersatu melakukan peralihan kepimpinan ketika ini, memandangkan parti itu memerlukan ‘nafas baharu’ untuk kekal relevan.
“Masalah utama parti adalah kepimpinan. Walaupun Hamzah seorang tokoh veteran, beliau mencerminkan pembaharuan kepimpinan diperlukan Bersatu untuk terus maju,” katanya.
Namun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti akar umbi parti berdasarkan maklum balas tidak rasmi daripada 202 bahagian Bersatu di seluruh negara.
Bagaimanapun, Bersatu Port Dickson tetap mempertahankan usul mereka pada Rabu lalu, apabila Akkil enggan menarik balik cadangan itu.
Apabila ditanya sama ada usul itu menandakan perubahan kesetiaan memandangkan Badrul dilihat sehaluan dengan Azmin, Azmi berkata perkara itu mungkin tidak berkaitan dengan kem pelbagai dalam parti.
“Ia lebih kepada keperluan untuk menggantikan Muhyiddin,” katanya.