Wanita dipukul majikan ada masalah kesihatan, kata polis

Wanita dipukul majikan ada masalah kesihatan, kata polis

Polis berkata laporan perubatan hospital menyatakan wanita itu hanya mengalami calar dan kesan lebam akibat dipukul majikan.

bos laki pukul pekerja perempuan
Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata wanita itu perlu menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan lain dan tiada kaitan atau disebabkan kes dipukul majikannya.
JOHOR BAHRU:
Polis mengesahkan seorang pekerja wanita yang dipukul majikan di sebuah pejabat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, 15 Mei lalu mempunyai masalah kesihatan lain sebelum insiden itu dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata laporan perubatan dari hospital menyatakan wanita 34 tahun itu hanya mengalami calar serta kesan lebam akibat kejadian berkenaan.

“Wanita itu memang sudah ada penyakit dan perlu membuat pembedahan dan tiada kaitan atau disebabkan daripada kes (kejadian) itu.

“Kita telah bawa perkara itu kepada pegawai perubatan dan mereka mengesahkan ia kecederaan kecil dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Johor di IPK Johor di sini.

Beliau mengulas dakwaan tular di media sosial wanita terbabit perlu menjalani rawatan dan pembedahan di hospital disebabkan kecederaan akibat kejadian itu.

Menurutnya kertas siasatan sudah diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.

Sebelum ini, Sohaimi dilaporkan berkata, polis menjalankan siasatan susulan video rakaman tular memaparkan seorang wanita dikasari majikannya di sebuah pejabat dan laporan wanita itu diterima pada hari sama sekitar 5.53 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.