
Semakin kita berusia, mata turut menunjukkan proses ‘penuaannya’. Seperti tubuh, mata juga perlukan permakanan yang sihat untuk keseluruhan kesihatannya.
Untuk mendapatkan mata yang sihat, ambillah nutrisi seimbang dan sumber makanan yang mempunyai warna kehijauan, kekuningan dan kemerahan. Ini kerana kumpulan ini kaya dengan Lutein dan Zeaxanthin serta vitamin dan mineral yang terbukti bagus untuk kesihatan mata.
Diet yang sihat untuk mata ialah dengan mengutamakan pengambilan buah-buahan, sayuran, bijirin penuh, susu dan produk susu tanpa lemak atau rendah lemak. Ambil juga daging, ikan, kekacang dan telur. Paling penting, ambil makanan yang rendah lemak, rendah kolesterol, dan kurangkan pengambilan gula dan garam.
Antara makanan yang baik untuk mata:
1. Lobak kaya dengan beta karotena, satu anti-oksidan yang membantu mengurangkan risiko degnerasi macula dan katarak.
2. Lada benggala, brokoli dan kubis brussel. Ketiga-tiga sayuran ini kaya dengan vitamin C dan merupakan anti-oksidan penting yang dapat melindungi mata.
3. Daging burung unta kaya dengan protin, zat besi dan zink – kandungan penting yang dapat mengekalkan kesihatan mata. Zink didapati dalam retina dan membantu enzim untuk menyihatkan mata. Dengan mengambil makanan yang mengandungi zink boleh mengelak dan merawat masalah degenerasi macula pada mata.
4. Ayam belanda juga kaya dengan zink serta niasin vitamin B yang bertindak melindungi mata dari katarak.
5. Ubi keledek kaya dengan beta karotena dan baik untuk menjaga kesihatan mata.
6. Sayur bayam membekalkan empat kandungan yang dapat melindungi mata. Mengandungi vitamin C, beta karotena serta lutein dan zeaxanthin; pasangan anti-oksidan yang ditemui dalam tisu macula. Ia bertindak seperti penghadang matahari kepada mata. Selain melindungi retina, bayam berupaya mengurangkan risiko degenerasi makula.
7. Ikan Salmon dan sardin kaya dengan lemak Omega-3. Kajian menunjukkan dengan memakan makanan yang kaya dengan lemak Omega-3 akan membantu melindungi salur darah dalam mata.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]