Reformasi dasar makanan atau berdepan krisis kesihatan, kata ahli ekonomi

Reformasi dasar makanan atau berdepan krisis kesihatan, kata ahli ekonomi

Jomo Kwame Sundaram berkata Malaysia perlu olah menyeluruh dasar pemakanan negara bukan sekadar bergantung cukai gula.

the International Social Wellbeing Conference 2025
Ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP, di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Malaysia perlu segera mereformasikan dasar pemakanan dan nutrisi terutama kepada kanak-kanak bagi meningkatkan tahap kesihatan dan pembangunan jangka panjang, kata ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Bercakap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP, penasihat Institut Penyelidikan Khazanah itu berkata banyak program nutrisi kerajaan berkualiti rendah dan tidak menepati keperluan asas pemakanan.

Beliau turut mengkritik kebergantungan kerajaan terhadap mekanisme pasaran seperti cukai gula, sambil menegaskan langkah sedemikian tidak mencukupi.

“Cukai gula tidak berkesan. Kita perlukan peraturan sebenar dan perubahan dalam cara pemakanan rakyat,” katanya dalam ucap tama bagi sesi bertajuk ‘Hidup Lebih Lama: Bersediakah Malaysia Berdepan Cabaran Akan Datang?’

“Rakyat kena digalakkan untuk kembali makan makanan segar dan sihat. Bukan semua masalah boleh diselesaikan menerusi cukai.”

Pada 2019, Malaysia memperkenalkan cukai gula 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang kemudian dinaikkan kepada RM0.50 pada 2024, dengan rancangan meningkatkannya kepada 90 sen tahun ini.

Walaupun cukai berkenaan mendorong beberapa pembaharuan dalam formulasi produk, kesannya terhadap kesihatan awam masih menjadi perdebatan.

Jomo menyifatkan lonjakan mendadak kadar diabetes sebagai petanda serius, sambil menyatakan kadar prevalens telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun 1980-an, dengan hampir satu daripada empat orang dewasa kini hidup dengan penyakit itu.

“Ini menunjukkan kempen kesihatan kita sebelum ini gagal. Kita mesti bertindak sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau menyebut mengenai program bidan kampung pada 1970-an sebagai contoh dasar kesihatan awam berkesan dan berkos rendah yang berjaya mengurangkan kadar kematian ibu dan anak, namun tidak pernah diperluaskan pelaksanaannya.

“Idea-idea ini pernah berjaya sebelum ini. Tetapi kita tidak meneruskannya,” katanya.

Beliau menyeru kerajaan mengguna pakai pendekatan ‘seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat’ untuk menangani isu kekurangan nutrisi, penuaan, dan akses penjagaan kesihatan yang tidak seimbang.

“Ia tidak sepatutnya diterajui syarikat yang hanya ingin menjual produk,” katanya. “Kita perlu berbincang mengenai penyelesaian sebenar demi kesihatan dan kesejahteraan semua.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.