
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kanak-kanak daripada golongan B40 tidak mendapat nutrisi yang mencukupi dalam makanan harian, dan tidak semua mereka mendapat makanan berkhasiat daripada program RMT di sekolah khususnya pelajar yang berada di kawasan bandar.
“Saya dapat tahu ramai pelajar B40 tidak mendapat nutrisi yang mencukupi setiap hari, terutama mereka di bandar.
“Saya dengar ada sekolah yang menggunakan ‘condensed milk’ (susu pekat manis) sebagai pengganti susu dan hanya bagi mi dalam portion yang sangat kecil,” katanya di Facebook selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mengetengahkan isu sekuriti makanan dalam kalangan keluarga B40.
Nurul Izzah berkata, untuk itu pihaknya akan memastikan kontrak tidak diberi kepada sesiapa secara semberono agar pelajar B40 mendapat nutrisi yang sepatutnya melalui program RMT.
“Tiada siapa yang akan mengaut keuntungan daripada makanan pelajar B40,” katanya.
Justeru katanya, program RMT di sekolah perlu dipantau dan mengandungi menu bernutrisi tinggi untuk kanak-kanak di negara ini.
Nurul Izzah juga mendakwa, kuasa beli golongan B40 juga mengecut secara drastik akibat inflasi dan golongan itu semakin menderita.
“Makanan adalah keperluan asas, untuk semua orang, tak kira miskin atau kaya, dan semua keluarga berhak mendapat akses yang sama kepada makanan,” katanya.
Program RMT sebelum ini mendapat perhatian umum berikutan pendedahan netizen tentang kekurangan makanan berkhasiat yang disediakan untuk pelajar sekolah B40.
Kementerian Pendidikan sejak itu telah didesak untuk menambah peruntukan bagi program itu.