Nutri-Grade papar kelas makanan terbaik hingga tak sihat, kata menteri

Nutri-Grade papar kelas makanan terbaik hingga tak sihat, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu akan dilaksanakan bagi tingkat literasi pemakanan sihat ketika membeli di pasar raya.

shopping hypermarket
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata pengelasan makanan terbaik bermula gred A, manakala gred D merujuk produk tidak sihat.
PETALING JAYA:
Pengelasan nutrisi makanan atau Nutri-Grade akan dilaksanakan bertujuan meningkatkan literasi pemakanan sihat menggunakan gred A hingga D, kata Kementerian Kesihatan.

Menteri Dzulkefly Ahmad, berkata Nutri-Grade antaranya akan digunakan bagi mengkategorikan produk makanan dijual di pasar raya supaya mudah difahami pengguna.

“Apabila kita perkenalkan Nutri-Grade itu, kita akan dapati bahawa kategori makanan bermula dari gred A iaitu yang terbaik dan kemudian gred D yang langsung tidak boleh diiklankan.

“Kita akan kategorikan yang tidak sihat itu gred D, iaitu (kandungan makanan) tidak sihat supaya orang tahu, kalau boleh elakkan makanan itu,” katanya menurut Bernama selepas sesi makan tengah hari Pemakanan Sihat, Tanggungjawab Bersama dan pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 (Pemakanan) di Dewan Bankuet, Parlimen.

Dzulkefly berkata, pendekatan berkenaan perlu dilaksanakan susulan hasil dapatan NHMS yang menunjukkan masih berlaku kekurangan nutrisi makanan dalam kalangan masyarakat.

“Cabaran masih lagi menekan terhadap tuntutan kami sebagai pengurus kesihatan untuk memastikan amalan dan praktis pemakanan sihat terus diangkat antaranya berkaitan beban berganda malnutrisi khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.”

Beliau berkata, KKM juga terbuka mengadakan libat urus bersama pempengaruh media sosial bagi membantu kementerian merealisasikan agenda pemakanan sihat di negara ini.

Dalam kajian yang melibatkan 5,400 isi rumah itu, NHMS antaranya mendapati sebanyak 78% remaja dan 74% dewasa tidak mendapat vitamin A yang mencukupi disebabkan kurangnya pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Tinjauan yang dijalankan dari 15 Julai hingga 25 Sept 2024 itu turut menunjukkan 98% remaja dan 96% dewasa mengalami kekurangan kalsium akibat kurang pengambilan susu.

Statistik pengambilan gula pula menunjukkan dua daripada tiga remaja serta seorang daripada dua dewasa mengambil gula tambahan dalam makanan dan minuman melebihi 37.5g atau 7.5 sudu teh sehari.

Sementara itu, pengambilan garam berlebihan turut direkodkan apabila tiga daripada empat dewasa mengambil diet tinggi garam dengan purata 7.3g atau 1.5 sudu teh sehari, sedangkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah lima gram atau satu sudu teh sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.