
Hulu Langat merupakan sebuah daerah yang juga dikenali dengan ungkapan ‘desa di dalam kota’ kerana terdapat banyak perkampungan di daerah yang dihuni oleh populasi penduduk yang ramai walaupun dikelilingi oleh pembangunan pesat.
Hulu Langat adalah daerah kelima terbesar di Negeri Selangor yang kaya dengan persekitaran semula jadi dan juga destinasi menarik.
Cuti hujung minggu ini anda boleh saja menikmati keindahan daerah ini bersama keluarga dengan jadual perjalanan sehari yang dicadangkan berikut:
1. Sarapan pagi di Lontong King
Mulakan hari anda dengan menikmati sarapan pagi di salah satu kedai makan terkenal di Hulu Langat iaitu Lontong King.
Terletak di Taman Sri Nanding, ia sering dikunjungi oleh penduduk berhampiran dan begitu popular dengan pelbagai pilihan makanan yang enak.
Pilihan makanannya ditawarkan seperti hidangan buffet di hotel. Pesanlah sendiri lontong asli mereka yang terkenal dengan pelbagai pilihan seperti Lontong Special, Lontong Biasa dan Lontong Goreng!
2. Pemanduan ATV di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Buat peminat aktiviti ekstrem, inilah tempatnya! Nikmati pengalaman mendebarkan kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) melintasi hutan di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation.
Pengalaman ini turut menawarkan pelbagai jenis trek termasuk trek mini, hutan dan sungai atau trek hutan yang lasak untuk perjalanan ATV sejauh 6 kilometer.
Semua bergantung kepada anda untuk memilih sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
3. Berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Seterusnya, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mendayung melalui Semenyih Eco Venture Resort & Recreation ke sungai dengan pemandangan alam sekitar yang luar biasa.
Ini adalah aktiviti yang pasti menggembirakan anda sekeluarga. Jangan risau kerana anda akan dilengkapi peralatan keselamatan dan taklimat sebelum aktiviti.
4. Paintball Adventure di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Paintball adalah permainan yang menarik di mana anda akan diberi ‘marker’ dan ‘pallet’ untuk ‘menembak’ pemain lain.
Permainan ini tidak mempunyai peraturan khusus tetapi penting bagi anda untuk memiliki strategi taktikal sendiri dengan tujuan untuk menyingkirkan pemain lain.
Anda hanya perlu ‘menembak’ menggunakan pistol paintball atau ‘maker’ yang telah diisi dengan dengan cairan berwarna.
Satu permainan luar biasa yang pasti menggembirakan anda dan keluarga untuk mencuba.
5. Makan tengahari di Itik Salai Masthar

Sekiranya anda seorang yang gemar daging salai, pastikan anda singgah di Itik Salai Masthar untuk menikmati pilihan daging asap yang sedap.
Perkara pertama yang perlu anda pesan adalah itik salai terkenal mereka! Selain itu, restoran ini juga menyajikan menu khas ‘gulai masak lemak’ dengan nasi dan sambal pedas.
Ini adalah restoran yang menyajikan makanan tempahan hebat yang patut dicuba!
6. Alami aktiviti luar yang hebat di Skytrex Sungai Chongkak

Selesai makan sambung aktiviti sehari anda di Skytrex Sungai Chongkak yang menawarkan pengalaman flying fox mendebarkan dengan rel zipline terpanjang di Malaysia.
Dengan panjang 110 meter, anda kini boleh ‘terbang’ di tengah-tengah kehijauan hutan sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
Skytrex Sungai Chongkak menawarkan 3 pakej dengan tahap kesukaran yang berbeza; River Thrill, Rapid Extreme dan Double Dare di mana setiap pakej ini menampilkan 25 halangan berbeza.
Jadi, pilihlah pakej mana yang sesuai dengan keperluan dan keberanian anda!
7. Minum petang di D’Pallet Place

D’Pallet Place ialah tempat minum petang yang sesuai untuk persinggahan sambil menikmati makanan ringan.
Terletak di Batu 9, Cheras, D’Pallet Place mempunyai banyak gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan sambil anda berbelanja kecil dan makan besar di kawasan terbuka.
Antara menu popular yang perlu anda cuba di sini ialah Ayam Bakar, Sotong Gunting, Cendol, Ketam Cili, Sup Gearbox dan banyak lagi.
8. Lawati Ostrich Wonderland Semenyih

Teruskan percutian sehari anda dengan melawati Ostrich Wonderland Semenyih dengan hanya 15 minit pemanduan dari Pekan Semenyih, tempat ini sesuai untuk lawatan keluarga.
Mula beroperasi pada tahun 2000, tarikan ini membolehkan anda menonton burung unta berkeliaran bebas dalam kandang luas dan sambil mempelajari proses pembesaran burung unta dalam pelbagai peringkat umur dan saiz.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh memberi makan kepada haiwan ini dan menunggu burung unta jika anda cukup berani.
Pastinya destinasi menarik untuk dikunjungi di Hulu Langat!
9. Hiking di Bukit Broga

Perjalanan ke Hulu Langat tidak akan sempurna jika tidak singgah di Bukit Broga. Mengambil kira-kira 15 minit pemanduan dari Pekan Semenyih, Bukit Broga cukup terkenal dengan aktiviti mendaki serta kawasan riadah bagi penduduk berhampiran.
Perjalanan sehari anda akan menjadi sempurna dengan menikmati udara segar dan pemandangan luar bandar yang indah.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan indah dari puncak Bukit Broga!
10. Makan malam di Sate Kajang Haji Samuri

Akhir sekali, jangan lupa singgah ke satu lagi lokasi popular di Hulu Langat, Sate Kajang! Menikmatinya pasti cara terbaik untuk menamatkan perjalanan sehari.
Populariti Sate Kajang Haji Samuri memang tidak dapat dinafikan, ia menyajikan Sate Kajang yang enak terutama apabila dimakan bersama sambal kacang dan nasi impit.
Anda boleh memilih sama ada sate ayam, daging lembu atau kambing serta pelbagai menu lazat yang lain.
Jadikan perjalanan sehari ke Hulu Langat sesuatu yang sukar dilupakan dengan melawat destinasi yang dicadangkan di atas.
Ambil peluang untuk meneroka dan menyaksikan bandar yang menakjubkan ini; daripada alam semula jadi yang memukau kepada pemilihan makanan enak di sini.
Luangkan hujung minggu anda di daerah Hulu Langat bersama keluarga namun perlu diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan atau SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel Tourism Selangor adalah Agensi Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri.
Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara, dan banyak lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]