
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata polis menerima maklumat orang awam pada 9.30 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
Katanya, saksi yang tinggal berhampiran lokasi memaklumkan terdengar bunyi bising di kawasan sungai sekitar 9 pagi.
“Saksi melihat seorang lelaki dan seorang wanita yang tidak dapat dipastikan bangsanya keluar dari sebuah kereta yang berada dalam sungai sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah yang tidak diketahui.
“Polis bersama anggota bomba kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada individu berada dalam kenderaan itu, sebelum ia dibawa naik ke darat,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut mendapati kereta terbabit milik seorang lelaki tempatan yang disewakan kepada lelaki lain.
Katanya, kenderaan itu kemudiannya pula dipinjam pasangan berkenaan.
“Pasangan suami isteri itu kini sedang dikesan bagi mengetahui punca kejadian. Insiden ini tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat di talian 019-2642499,” katanya.
Sebelum itu, sebuah kereta Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti dilaporkan terjunam ke dalam sungai terbabit.