Sejarah menarik 4 hidangan Malaysia

Sejarah menarik 4 hidangan Malaysia

Pernahkah anda bertanya tentang asal-usul beberapa hidangan yang sangat digemari di Malaysia?

Rakyat Malaysia sukakan makanan penjaja yang pedas, manis dan enak.

Malaysia mempunyai reputasi sebagai syurga pencinta makanan. Maka bila terdapat begitu banyak hidangan enak yang tersedia sepanjang hari, ada pula yang rambang mata untuk memilih.

Makanan Malaysia lazimnya adalah gabungan unik pelbagai budaya dan jika anda pernah tertanya-tanya tentang asal-usul makanan kegemaran anda, artikel ini akan menjelaskan sejarah sebahagian daripadanya.

1. Nasi Lemak

Nasi lemak yang disajikan dengan daun pisang dipercayai mampu meningkatkan keenakannya.

Nasi lemak semestinya antara hidangan Malaysia yang paling digemari. Walaupun ia sering dihidangkan sebagai sarapan pagi, ramai juga yang menyajikannya sebagai hidangan sepanjang hari.

Nama ‘nasi lemak’ secara langsung dapat diterjemahkan sebagai ‘berlemak atau nasi yang kaya’ dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada rasa lemak santan kelapa yang telah sebati dengan nasi.

Lazimnya ia dihidangkan dengan hirisan timun, sambal, telur rebus atau goreng, ikan bilis goreng dan kacang tanah.

Sejarah nasi lemak di Malaysia dikesan sejak tahun 1909 lagi apabila ia tercatat dalam buku berjudul ‘The Circumstances of Malay Life’ oleh Sir Richard Olof Winstedt.

Keterangan menerangkan bagaimana nasi lemak dimasak, dan pelbagai bumbu yang disajikan, seperti yang ditulis oleh Sir Richard Olof Winstedt (Gambar The Circumstances of Malay Life)

Di dalam buku itu, beliau menerangkan bagaimana hidangan tersebut dimasak oleh orang Melayu ketika itu yang akan menanak nasi bersama santan dan bukan air, pada majlis-majlis khas.

Winstedt, seorang sarjana Inggeris dan pentadbir kolonial, turut menulis mengenai pelbagai perasa atau bumbu yang disajikan bersama dengan nasi seperti ikan dan sayur-sayuran.

Lebih menarik lagi, legenda tempatan mengaitkan asal-usul nasi lemak dengan dua beranak bernama Mak Kuntum dan Seri.

Suatu hari ketika Mak Kuntum keluar bekerja, Seri secara tidak sengaja tercurah santan ke dalam nasi ketika sedang memasak.

Sekembalinya dari tempat kerja, Mak Kuntum terkejut dengan rasanya yang lebih enak. Ketika bertanya kepada anaknya apa yang dia masak, Seri dengan spontan menjawab, “Nasi le, mak!” dan akhirnya, lahirlah nasi lemak.

2. Roti Canai

Orang Malaysia gemar menikmati roti canai dengan kari.

Roti canai adalah satu lagi hidangan yang sering dinikmati sepanjang hari oleh rakyat Malaysia. Ia pada dasarnya adalah adunan tepung yang diuli menjadi lapisan nipis, kemudian ditebar ke udara sebelum dimasak di atas kuali dan disajikan dengan dhal, ayam, atau kari ikan.

Selain roti canai tradisional, telur, sardin, mentega dan keju turut ditambah ke dalam lapisan tipis dan lembut roti tersebut untuk menghasilkan kelainan.

Perkataan ‘roti’ berasal dari bahasa Melayu dan dalam bahasa Sanskrit, yang lebih tua. Tetapi ada banyak pendapat berbeza mengenai asal perkataan ‘canai’.

Ada yang percaya ‘canai’ berasal dari Chennai, ibu kota negara Tamil Nadu di India.

Namun, ada juga yang mengatakan ia berasal dari istilah masakan Melayu, ‘canai’, yang bermaksud ‘menggulung doh dengan nipis’.

Lebih menarik lagi, ada yang berpandangan ia berkaitan dengan ‘chana’, kari yang diperbuat dari kacang kuda.

Selain itu, ada yang mengaitkannya dengan orang India yang datang ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang getah dan ladang kelapa sawit semasa penjajahan Inggeris. Ini kerana ia hampir sama dengan ‘Paratha Malabari’ yang wujud di tanah air mereka.

3. Nasi Kandar

Untuk pengalaman Nasi Kandar yang terbaik, nikmatinya dengan kari banjir. (Gambar Facebook / Nasi Kandar Line Clear)

Nasi kandar adalah makanan terdiri daripada nasi kukus yang disajikan dengan pelbagai hidangan daging dan sayur-sayuran enak beserta kari.

Abdul Rais, AR, et al (2013) dalam artikel bertajuk, “Kajian perbandingan pola makanan nasi kandar dalam kalangan pelanggan di Lembah Klang dan Pulau Pinang Malaysia” menyatakan bahawa nasi kandar mendapat namanya dari cara penjual mengimbangkan batang kayu di bahu mereka, ketika membawa nasi di dalam bekas.

Oleh kerana itu, ia dinamakan ‘nasi kandar’, di mana ‘nasi’ adalah dalam bahasa Melayu dan ‘kandar’ atau ‘kandha’ adalah perkataan dalam bahasa Urdu yang bermaksud bahu.

Nasi, yang lazimnya disajikan dengan daging dan sayur-sayuran itu, dipercayai berasal dari masyarakat India Muslim yang berhijrah ke Pulau Pinang dari India Selatan pada abad ke-18.

4. Cendol

Tiada cara yang lebih baik selain mengakhiri hidangan pedas dengan semangkuk Cendol yang sejuk. (Gambar Rawpixel)

Pada hari yang panas, tiada yang lebih enak selain dapat menikmati semangkuk cendol yang sejuk dan manis, sejenis pencuci mulut ais yang diparut dan dicampurkan dengan jeli pandan, santan dan gula melaka.

Cendol juga boleh dihidangkan dengan bahan tambahan seperti kacang merah, jagung berkrim, dan beras pulut.

Perkataan cendol paling awal dikesan tercatat dalam sebuah artikel yang diterbitkan akhbar tempatan, Saudara, pada tahun 1932.

Sesetengah pihak percaya, cendol berasal dari pelabuhan di Malaysia di mana sisa ais untuk menyejukkan muatan kapal dagang diparut untuk membentuk cendol.

Perkataan cendol pernah disebut pada tahun 1932 (Petikan dari akhbar tempatan, Saudara)

Perlu diingat bahawa terdapat juga hidangan yang hampir serupa dengan cendol yang terdapat di beberapa negara Asia Tenggara lain, seperti ‘dawet’ di Indonesia dan ‘lot chong’ di Thailand.

Bagaimanapun, laman web Jabatan Warisan Negara Malaysia, mengesahkan sejak itu cendol diklasifikasikan sebagai ‘Objek Warisan Tidak Ketara’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.