Roti Pisang santapan minum petang

Roti Pisang santapan minum petang

Keunikan roti pisang ini ialah dari segi teksturnya yang lebih padat dan berat berbanding tekstur kek yang lebih gebu dan ringan.

Roti pisang. (Gambar Simplyrecipes.com)

Ramai yang memanggil kek pisang tetapi nama sebenarnya adalah roti pisang. Roti pisang merupakan variasi roti yang cukup diminati oleh para penggemar pisang di negara-negara Barat, khususnya di Amerika.

Di Malaysia, kita memilih untuk menyediakan kek pisang, atau cekodok dan pelbagai kuih berasaskan pisang lain seperti pengat serta lepat apabila ada pisang yang sudah ranum di dapur.

Tetapi di negara-negara Barat, roti pisang merupakan pilihan minum petang kegemaran seisi keluarga di sana.

Keunikan roti pisang ini ialah dari segi teksturnya yang lebih padat dan berat berbanding tekstur kek yang lebih gebu dan ringan. Selain itu, roti pisang juga mempunyai versatilitinya yang tersendiri.

Terdapat pelbagai variasi resepi yang menggunakan roti pisang seperti puding roti dan juga roti aiskrim.

Jika anda sudah berasa bosan membuat kek pisang dan cekodok untuk dijadikan sebagai santapan petang, anda boleh mencuba resepi roti pisang yang mudah ini tanpa memerlukan mesin pembuat roti pun!

Bahan-bahan:

  • 3 biji pisang montel atau pisang emas
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder (diayak)
  • 1 sudu teh soda bicarbonate(diayak)
  • 1/3 cawan mentega yang telah dicair dan disejukkan
  • 1/2 cawan gula kastor
  • 1 biji telur gred A, dikacau rata
  • Secubit garam (jika guna mentega bergaram, tak perlu bubuh garam)

Cara membuat:

  1. Panaskan oven pada suhu 170C. Lenser tin berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi dan ketepikan.
  2. Lecek pisang hingga halus dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam dan telur, gaul rata.
  3. Masukkan gula kastor dan kacau hingga gula larut. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil digaul dengan spatula hingga sebati, jangan terlebih gaul. Tuang mentega cair dan kacau dengan kaedah kaup balik hingga rata.
  4. Tuang dalam tin yang telah disediakan tadi. Ratakan dan bakar selama 45 hingga 50 minit atau hingga roti masak.
  5. Uji dengan mencucuk lidi sate bersih dibahagian tengah roti dan jika keluar bersih, tandanya sudah masak.
  6. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan keluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan dan boleh dihidangkan.

Selamat mencuba!!

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platform dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.