Isteri merungut mahu pemandangan berbeza, suami bina rumah boleh berpusing di Bosnia

Isteri merungut mahu pemandangan berbeza, suami bina rumah boleh berpusing di Bosnia

Pada kelajuan paling perlahan, rumah ini mampu melakukan pusingan penuh dalam masa 24 jam dan sekitar 22 saat dengan putaran terpantas.

Vojin Kusic, 72, dari Bosnia membina rumah yang boleh berpusing untuk isterinya yang sering mahukan pemandangan berbeza. (Gambar Youtube)

Serabut dengan rungutan isteri yang sering mahukan pemandangan yang berbeza dari rumah, seorang lelaki di Bosnia mencari jalan membina sendiri kediaman yang boleh berpusing.

Lelaki yang cukup berinovasi itu akhirnya berjaya membina kediaman yang mampu berputar untuk melihat matahari terbit pada satu ketika dan mereka yang lalu- lalang pada ketika yang lain.

“Saya sudah bosan dengan rungutannya dan kerap sangat membaik pulih rumah keluarga kami. Saya beritahu dia, saya akan bina rumah yang mampu berputar jadi dia boleh memusingkannya mengikut kehendak hati,” kata Vojin Kusic, 72, kepada Reuters.

Sejak kediaman itu siap dibina, ia telah menarik perhatian ramai pengunjung.

Terletak di dataran subur di utara Bosnia berhampiran bandar Srbac, kediaman itu berputar di atas paksi berukuran 7 meter yang direka oleh Kusic.

Setiap kali berputar, penghuninya bakal dihidangkan dengan pelbagai sudut pandang termasuk ladang jagung, kebun sayur-sayuran, hutan dan sungai mengikut kelajuan yang diingini.

“Pada kelajuan paling perlahan, rumah ini mampu melakukan pusingan penuh dalam masa 24 jam dan sekitar 22 saat dengan putaran terpantas,” kata Kusic.

Isterinya bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rumah baharu itu.

Kusic berkata dia terinspirasi oleh pencipta Serbia-Amerika Nikola Tesla dan Mihajlo Pupin. Menyedari dirinya yang miskin tanpa pendidikan khusus, memaksanya mencari jalan untuk melakukannya sendiri.

“Ini bukan satu inovasi, ia hanya perlukan kemahuan dan pengetahuan, dan saya mempunyai masa dan pengetahuan yang cukup,” tambahnya yang mengakui membina rumah itu seorang diri.

Menurutnya, projek itu mengambil masa enam tahun untuk disiapkan, termasuk cuti rehat di hospital akibat masalah jantung. Kediaman itu juga mampu bertahan dari kerosakan akibat gempa bumi berbanding rumah biasa.

“Saya minta doktor untuk cuba memanjangkan hayat saya sekurang-kurangnya setahun kerana saya perlu menyiapkan projek ini, dan tiada siapa yang akan tahu bagaimana untuk menyiapkannya,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.