Damainya Pengkalan Balak

Damainya Pengkalan Balak

Lokasi yang strategik serta persisiran pantai yang luas di samping keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan di persekitarannya menjadikan ia destinasi pilihan ramai.

Aktiviti banana boat sering menjadi pilihan pengunjung. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Pengkalan Balak merupakan salah satu daripada pantai di Melaka yang sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung ketika bercuti.

Lokasi yang strategik serta pesisiran pantainya yang luas di samping keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan di persekitaran menjadikan ia destinasi pilihan ramai.

Ketika musim cuti persekolahan, pantai yang damai ini akan dipenuhi dengan pelancong di dalam mahupun luar negara.

Pengkalan Balak memiliki kawasan pesisiran pantai yang panjang dengan pasir bersih. Malah ada juga batu-batu besar di tepi pantai dengan rupa bentuk geografi yang cantik, menambahkan lagi seri di kawasan tersebut.

Terdapat juga kawasan yang sedikit tersorok dan kurang tumpuan.

Pantai ini akan dipenuhi pelancong sewaktu cuti persekolahan. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Di tepi-tepi pantai, disediakan dengan restoran dan gerai menjual pelbagai jenis makanan, pakaian dan permainan.

Sudah namanya Melaka, pastinya hidangan masakan asam pedas menjadi menu utama di kawasan ini.

Menjelang petang pengunjung berpeluang melihat nelayan-nelayan pulang membawa hasil tangkapan laut sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam di Selat Melaka.

Terdapat banyak chalet milik penduduk tempatan yang tersedia di sepanjang pantai peranginan ini, setiap satunya menawarkan harga yang berpatutan.

Terdapat pelbagai chalet yang disediakan di sini. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Terpulanglah kepada para pengunjung untuk menginap di chalet yang mana. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Cuma pastikan tempahan dibuat lebih awal kerana bilik disini sentiasa penuh, apatah lagi jika musim cuti persekolahan.

Apabila di pantai sudah tentu aktiviti utamanya ialah mandi manda. Para pengunjung boleh mandi sepuasnya kerana air di pantai ini begitu bersih dan pasirnya halus serta tidak mempunyai batu-batu yang boleh mencederakan kaki.

Alunan ombaknya juga tidak deras dan sangat sesuai untuk kanak-kanak. Ambillah peluang ini untuk membina istana pasir bersama keluarga.

Terdapat pelbagai aktiviti riadah di sini dan bagi mereka yang gemarkan aktiviti ekstrim, seperti menaiki bot untuk bersiar-siar di kawasan sekitar, perkhidmatan banana boat disediakan.

Banana boat untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Pengalaman menaiki banana boat bersama anak dan sepupu merupakan satu pengalaman yang menarik kerana semuanya menjerit keriangan tatkala pemandu bot membuat pusingan selekoh di samping meredah arus ombak menyebabkan banana boat ini melantun-lantun.

Pada malam hari pula, pengunjung boleh menikmati keindahan malam dengan duduk bersantai di tepi pantai sambil menjamu selera. Terdapat pelbagai gerai yang menyediakan juadah untuk makan malam.

Bagi yang gemar memancing, waktu beginilah sesuai untuk pemancing melabuhkan umpan. Bahkan, ramai juga yang memancing di tepi pantai.

Jika bernasib baik dan tiba pada musim menangkap udang geragau, pengunjung boleh melihat para nelayan menangkap udang geragau menggunakan kaedah tradisional atau dipanggil menyungkur iaitu teknik menyodok anak udang.

Udang geragau antara tangkapan laut yang popular di sini. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Menurut seorang teman yang juga penduduk jati Pengkalan Balak, Encik Dzul Karnain Abdullah alat ini diperbuat daripada buluh dengan lubang jala yang halus. Ini bagi mengelakkan udang terlepas ke laut.

Ianya digunakan dengan cara menolak dan menekan sambil berjalan di dalam air laut separas pinggang sama ada mengikut atau melawan arus laut.

Alat ini perlu sentiasa ditekan kerana jika tidak sungkur tersebut akan timbul.

Jika menyungkur pada waktu malam, nelayan akan memasang pelita atau lampu di dahi bagi menarik perhatian udang ke arah sungkur.

Lawatan juga pasti kurang lengkap sekiranya tidak melawat Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Melaka yang terletak di penghujung pantai pengkalan balak. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa di Melaka juga terdapat sebuah pusat santuari penyu.

Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Melaka (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Pusat ini adalah sebuah kawasan berpagar khas untuk anak-anak penyu menetas dan membesar dengan baik sebelum dilepaskan kembali ke laut.

Disini kita boleh melihat sendiri spesis penyu karah yang hampir pupus. Pusat ini ditubuhkan Jabatan Perikanan untuk menyelamat dan melindungi penyu karah daripada pupus disebabkan aktiviti manusia.

Kompleks Falak Al-Khawarizmi. (Gambar Rasfan Abu Bakar)

Tidak jauh daripada Pengkalan Balak pula ada sebuah balai cerap yang dikenali sebagai Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Kompleks ini merupakan sebuah kompleks ilmu falak dan astronomi yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Melaka terletak di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Ia merupakan kompleks falak yang terbesar di Malaysia mengandungi Balai Cerap, Planetarium dan Pusat latihan yang menyediakan kemudahan penginapan, bilik-bilik kuliah, auditorium, makmal komputer serta aktiviti-aktiviti pelancongan pendidikan astronomi seperti lawatan, tayangan dokumentari sains berbentuk planetarium dan 3D, cerapan hilal dan cerapan langit malam.

Apa tunggu lagi, jom bercuti ke Pengkalan Balak.

Rasfan Abu Bakar, penulis percutian ini yang juga merupakan Dekan Fakulti Animasi & Multimedia di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), berkongsi percutiannya bersama keluarga di Pengkalan Balak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.