Pengat Pisang lemak manis hidangan minum petang

Pengat Pisang lemak manis hidangan minum petang

Hidangan ini cukup popular di negeri-negeri pantai timur yang lazimnya menggunakan Pisang Tanduk atau Pisang Lang.

Manis dan lemak, sesuai sebagai pencuci mulut atau minum petang. (Gambar Butterkicap)

Pengat pisang merupakan satu hidangan manis yang lazimnya disediakan sebagai hidangan minum petang atau pencuci mulut. Hidangan ini cukup popular di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Pengat pisang lazimnya disediakan menggunakan Pisang Tanduk atau Pisang Lang.

Pisang Tanduk sesuai untuk dijadikan pengat kerana isinya yang berkanji. Apabila dimasak, pisang ini akan menjadi cukup lemak dan memang enak apabila dimakan.

Pisang Lang pula mempunyai tekstur yang lebih halus dan kurang berkanji. Namun, apabila cukup masak, memang manis.

Kedua-dua jenis pisang ini seringkali menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembeli kerana kelihatan sama. Jika tak pasti, tanya sahaja penjual, ya.

Untuk menyediakan pengat pisang, mudah sahaja. Anda hanya memerlukan beberapa bahan yang mudah didapati di mana-mana kedai runcit atau pasaraya tempatan.

Namun begitu, jika anda tidak mahu pengat begitu manis, gunakan gula merah India yang boleh didapati di kedai runcit mamak.

Pengat Pisang

Bahan-bahan:

  • 2 biji pisang
  • 1/2 cawan sagu
  • 3/4 cawan gula merah
  • 2 cawan air
  • 1 kotak (200ml) santan
  • 3 helai daun pandan

Cara-cara:

  1. Hiris pisang menjadi ketulan kira-kira 2-3 inci. Ketepikan.
  2. Rebus sagu hingga jernih. Tapis sagu dan ketepikan.
  3. Di atas api sederhana besar, panaskan 2 cawan air gula dengan daun pandan di dalam periuk.
  4. Apabila gula sudah larut, masukkan hirisan pisang. Kemudian masukkan santan dan sagu.
  5. Biarkan hingga mendidih selama 5 minit.
  6. Masukkan sedikit garam. Kacau dan padamkan api.
  7. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:

Tapis dahulu gula merah sebelum guna. Ada kalanya, terdapat habuk halus akan terbentuk apabila gula merah lama tersimpan.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.