
Pernah dengar, manusia bertanduk?
Jika selama ini kita tahu bahawa hanya haiwan memiliki tanduk tetapi di India seorang lelaki ditumbuhi tanduk di kepalanya. Aneh bukan!
Shyam Lal Yadav, 74, berasal dari India amat terkejut apabila mendapati tanduk mulai tumbuh di kepalanya. Ianya bermula lima tahun lepas apabila Shyam merasakan ada bonjolan muncul di kepalanya.
Hairan dan rasa tidak selesa dengan keadaan itu, lelaki itu kemudian meminta bantuan tukang cukur untuk memotong tanduk tersebut.
Namun, lama kelamaan tanduk tersebut terus tumbuh dan menjadi keras sehingga tukang cukur tersebut tidak dapat lagi memotong serat-serat tersebut.
Shyam akhirnya meminta bantuan doktor, seorang ahli bedah saraf di Hospital Bhagyoday Tirth di Kota Sagar, India.
Doktor Vishal Gajbhiye yang merawat Shyam mengatakan bahawa tanduk itu dipanggil tanduk “sebaceous” dan ia sama seperti yang tumbuh pada kebanyakan haiwan. Bermaksud ia terjadi dari pertumbuhan keratin.
“Ia adalah serat yang sama seperti di kuku kaki dan rambut manusia,” ujarnya
Pasukan perubatan kemudian melakukan imbasan sebelum membuat keputusan untuk melakukan pembedahan membuang tanduk tersebut.
Menurut Doktor Vishal, pasukan perubatan berusaha membuang tanduk serta akarnya agar ia tidak tumbuh semula.
“Rawatannya berbeza-beza tetapi ia memang memerlukan pembedahan, terapi radiasi dan kemoterapi,” ujarnya lagi.
Kini, keadaan Shyam sudah mulai sembuh dan tanduk tersebut juga tidak lagi tumbuh. Tetapi apa yang menghairankan, sehingga kini tiada siapa yang tahu punca ia terjadi.
Namun, doktor-doktor yang merawatnya mensyaki ianya disebabkan oleh sinaran radiasi atau sinar matahari berlebihan.
Tetapi menurut mereka secara dasarnya, kondisi itu tidak merbahaya cuma ia mengganggu penampilan sahaja.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]