Sarawak kaji potensi sagu ganti beras jadi sumber karbohidrat

Sarawak kaji potensi sagu ganti beras jadi sumber karbohidrat

Penanaman sagu di Sarawak bermula awal 1880-an dan negeri itu kini pengeksport terbesar tepung sagu di dunia.

Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn berkata hasil penyelidikan awal saintis CRAUN Research Sdn Bhd mendapati pati sagu hampir menyamai rasa nasi. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Sarawak sedang mengkaji potensi sagu menggantikan beras sebagai sumber karbohidrat, kata Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata CRAUN Research Sdn Bhd giat menjalankan penyelidikan, dengan saintis syarikat milik kerajaan negeri itu sejak tahun lalu mendapati pati sagu hampir menyamai rasa nasi.

Menurutnya, penyelidikan lanjut masih dijalankan CRAUN Research untuk menilai potensi sebenar sagu sebagai sumber karbohidrat utama.

“Penyelidikan itu akan memberi peluang kepada kita untuk menangani keselamatan makanan selain mencari sumber karbohidrat lain bagi menggantikan beras.

“Usaha oleh CRAUN Research juga akan mempelbagaikan produk sagu,” katanya menurut Harian Metro dalam ucapan penggulungan kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Penanaman sagu di Sarawak bermula awal 1880-an dan ia kini antara komoditi perdagangan pertanian utama negeri itu, dengan pekebun kecil menyumbang 92% daripada anggaran kawasan tanaman seluas 32,329 hektar.

Kawasan utama penanaman sagu di Mukah, Betong dan Sarikei, dengan pekebun kecil masih bergantung kepada pendekatan penanaman tradisional.

Sarawak merupakan pengeksport terbesar tepung sagu di dunia dan 37,884 tan kanji sagu bernilai RM78.29 juta dieksport ke Semenanjung Malaysia serta Jepun sebanyak 51.27% dan 35.47% jumlah isi padu eksport pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.