Belon panas Companion bakal menghiasi udara

Belon panas Companion bakal menghiasi udara

Belon gergasi milik artis berasal dari AS, KAWS, akan menjengah beberapa bandar besar di seluruh dunia.

Jelajah belon panas Companion dijangka bermula akhir tahun ini. (Gambar @rkrkrk)

Figura belon gergasi setinggi bangunan 15 tingkat ini pernah ‘mengejutkan’ orang ramai apabila secara tiba-tiba membuat kemunculan kaki Gunung Fuji, Jepun dan di tengah pusat bandar Taipei, Taiwan.

Ia juga pernah kelihatan terapung di sekitar Tasik Seokchon, Seoul, Korea dan lokasi terkenal di Hong Kong, Victoria Harbour.

Kali ini, belon gergasi milik seorang artis dari Amerika Syarikat (AS), KAWS, itu akan menghiasi ruang udara di beberapa bandar besar di seluruh dunia sebagai belon panas.

Isnin lalu, KAWS atau nama sebenar, Brian Donelly mengumumkan rancangannya untuk menerbangkan belon gergasi itu, Companion ke beberapa bandar besar utama termasuk Australia, China, Turki dan Sepanyol.

Bagaimanapun, harga untuk menaiki belon panas terbabit masih belum ditentukan dan tarikh sebenar yang ditetapkan nanti bergantung kepada permintaan orang ramai terhadap pakej penerbangan.

Baru-baru ini, ujian menerbangkan belon gergasi itu dilakukan di Bristol, United Kingdom, iaitu sebuah bandar dikenali sebagai penganjur festival belon panas terbesar di Eropah.

Donelly berkata, selain menawarkan pengalaman unik kepada orang ramai, dia juga ingin menonjolkan elemen kejutan terhadap pengunjung yang melihatnya dari bawah.

“Ia akan menjadi satu objek yang bakal memberi kejutan dari udara. Ia adalah satu pengalaman menyeronokkan apabila hasil seni anda mampu mengalih pandangan orang buat beberapa minit dan berada di beberapa bandar berbeza di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, projek itu sebenarnya adalah salah satu cara bagi dirinya untuk melalui situasi menyukarkan ketika pandemik Covid-19.

“Sebagai artis, kita cuba mencari jalan untuk terus mencipta kreativiti dalam situasi ini. Banyak acara terpaksa dibatalkan selain banyak pertimbangan perlu dibuat untuk melakukan perjalanan serta mesyuarat secara berkumpulan.

“Saya merasakan belon ini akan menjadi satu objek terbaik untuk mencipta sesuatu yang menawarkan pengalaman kepada orang ramai berbanding pameran,” katanya.

KAWS yang mula bertapak sebagai pelukis graffiti kini turut berjinak ke dalam dunia seni, rekaan serta budaya pop.

Dia mencipta watak Companion itu sejak lebih dua dekad lalu bersama beberapa watak lain seperti Accomplice, Chum, Bendy dan BFF.

Selain arca berskala besar, Donelly turut mencipta nama menerusi kolaborasi permainan, barangan serta pakaian dengan nama besar seperti Nike dan Uniqlo.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.