Pameran cahaya jadi terapi buat penduduk Montreal

Pameran cahaya jadi terapi buat penduduk Montreal

Pameran jadi halwa mata naikkan semangat penduduk Montreal selepas berbulan-bulan hadapi pandemik.

Orang ramai berjalan di bawah binaan cahaya dan bunyi, antara yang dipamerkan di Montreal, Quebec, pada musim sejuk ini. (Gambar AFP)

Di pusat bandar Montreal, penduduk bandar yang berbulan-bulan terjejas akibat pandemik COVID-19 kini mendapat sedikit sinar harapan dengan ‘terapi cahaya’ ketika musim sejuk ini.

Pameran cahaya dan bunyi khas yang diberi nama “Light therapy, beating heart,” di bandar itu dilihat memberi sedikit semangat untuk penduduk Montreal.

Di Dataran Festival, penduduk Montreal boleh menikmati halwa mata dengan ‘zoetrope’ bercahaya iaitu alat berbentuk roda yang berpusing laju dan memaparkan ilustrasi 12 buku Quebec yang hasilnya seperti pameran animasi.

Dua pekerja, Alison Abrego dan Salma Houaichi, kedua-duanya berusia 27 tahun, duduk saling mengadap di dalam zoetrope itu dan menolak tuil yang menaikkan ilustrasi berkenaan, seterusnya menampakkan seolah-olah imejnya hidup.

“Saya rasa kita semua perlukan terapi tahun ini, lebih lagi berbanding tahun sebelumnya. Aktiviti seperti ini yang mudah diakses dan percuma untuk orang ramai membantu meringankan sedikit rasa tekanan kita semua,” kata Houaichi.

Abrego yang bersetuju dengan rakannya berkata “Memang penting untuk menaikkan semangat dan kesihatan mental seseorang.”

“Prinsip terapi cahaya adalah untuk mencetuskan minda, membuatkan kita lebih aktif,” kata Olivier Girouard, pereka karya itu yang digelar Loop.

Pameran yang dianjurkan untuk tahun ke-11 di Montreal itu bersifat interaktif dan menyeronokkan. Ia merangkumi lima binaan cahaya dan bunyi yang dipamerkan di situ sehingga 14 Mac 2021.

“Kami mahu pengunjung mengalami ‘perjalanan’ menyeluruh dan menenangkan. Perjalanan menenangkan mesti diiringi irama muzik piano lembut, dengan sedikit salji. Sambil kita boleh berjalan dan mengambil gambar,” kata Catherine Girard Lantagne, pemangku pengarah pengaturcaraan Quartier des Spectacles Partnership.

Setiap petang sekitar jam 6, pameran cahaya dan bunyi itu dipancarkan pada beberapa bangunan di bandar berkenaan. Selama kira-kira lima minit, bunyi degupan jantung kedengaran di jalanan diiringi cahaya merah, simbolik menandakan perpaduan.

“Nadi Montreal tetap berdenyut, nadi kebudayaan masih berdenyut, itulah mesej yang mahu kami sampaikan,” kata Girard Lantagne.

Pada hujung minggu pertama bulan Disember lalu, kira-kira 3,000 orang datang menyaksikan pelancaran pameran itu.

“Ia eksperimen yang amat selamat,” kata Girard Lantagne, sambil menunjukkan papan tanda yang mengingatkan orang ramai mengenai SOP yang disarankan pihak berkuasa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.