
Menteri Aaron Ago Dagang berkata, pameran itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami keindahan dan keunikan seni persembahan tradisional opera Cina, satu bentuk kesenian klasik yang sarat nilai estetika, sejarah, simbolisme dan warisan turun-temurun masyarakat Tionghua.

Katanya, ia juga berfungsi sebagai wadah pendidikan budaya yang memperkenalkan masyarakat umum kepada kehalusan kostum, muzik, solekan, skrip dan peranan dalam opera Cina yang sering menggambarkan tema moral, cinta, perjuangan dan sejarah.
“Melalui pameran ini, Kementerian Perpaduan Negara berhasrat untuk menonjolkan betapa pentingnya pemeliharaan dan penghargaan terhadap seni budaya pelbagai kaum di Malaysia.
“Ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat nilai hormat-menghormati, kefahaman antara kaum dan penghargaan terhadap perbezaan sebagai asas kepada kekuatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pameran itu bukan sekadar pengenalan kepada seni budaya satu kaum, tetapi peringatan bahawa warisan budaya adalah hak bersama dan harus dihormati serta dihargai semua.
“Melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya satu sama lain, kita dapat membina jalinan hubungan yang lebih erat antara komuniti berbilang bangsa dan agama di negara ini,” katanya.