
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Luar Britain, menteri 10 negara itu menyuarakan “kebimbangan serius terhadap kemerosotan semula situasi kemanusiaan di Gaza yang kekal dalam bencana”.
Katanya, orang awam di Gaza kini berdepan keadaan sangat memeritkan dengan hujan lebat dan penurunan suhu ekoran ketibaan musim sejuk, selain kekurangan bekalan makanan serta kemudahan kesihatan sangat kritikal.
Justeru, mereka menggesa Israel memastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Gaza beroperasi secara “mampan dan konsisten” demi menjamin tindak balas kemanusiaan.
Israel turut digesa memastikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta rakan kongsinya dapat terus menyampaikan bantuan di wilayah itu.
Rejim itu turut diminta menarik balik sekatan terhadap barangan import dwiguna dan membuka pintu sempadan bagi memudahkan aliran bantuan kemanusiaan.
Baru-baru ini, kerajaan Palestin menggesa komuniti antarabangsa dan agensi PBB mengambil tindakan kemanusiaan segera bagi melindungi penduduk Gaza daripada keadaan musim sejuk yang ekstrem serta ribut yang berterusan.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat mingguan di Ramallah, Palestin turut meminta kebenaran kemasukan rumah mudah alih dan bekalan tempat perlindungan lain ke wilayah itu.