Pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA’ himpun karya seni 4 negara

Pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA’ himpun karya seni 4 negara

Pameran hasil karya seni di Balai Seni Negara memaparkan identiti wilayah dan realiti sosial di timur Asean.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Shaharuddin Abu Sohot (baju kuning) bersama kurator dan seniman dalam perasmian pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari’ di Istana Budaya pada Khamis.
PETALING JAYA:
Balai Seni Negara buat julung kalinya menghimpun 12 karya seni daripada seniman empat negara serantau – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina – menerusi pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari’.

Pameran yang berlangsung hampir sembilan bulan itu memaparkan identiti wilayah dan realiti sosial di timur Asean yang diterjemah menerusi pelbagai medium termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi.

Wilayah ini merangkumi keseluruhan Kesultanan Brunei, jalur Kalimantan di Indonesia, negeri Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia serta kawasan selatan Filipina termasuk Mindanao dan Palawan.

Seniman negara yang terlibat dalam pameran itu termasuk Josrie Haral, Muslim Mattajim dan Mohamad Faizuan Mat manakala Brunei diwakili oleh Umi Zaty Bazillah Zakaria dan Asilah Maziyah Mohamad Yussof.

Karya seni seniman Filipina bertajuk ‘Ugat Sin Tau: A Journey Through Heritage’ menawarkan pengalaman interaktif unik kepada pengunjung.

Filipina menampilkan beberapa hasil karya seni oleh Chester M Mato, Romy Jones Mata, Leonard B Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alnynnah Macla.

Seniman Audro Chrustofel Rompas serta dua kolektif seni ‘Susur Galur’ dan ‘Muara Suara’ dari Pontianak dan Samarinda menjadi wakil dari Indonesia.

Dalam ucapan perasmian pada Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Shaharuddin Abu Sohot, berkata pameran itu mencerminkan budaya dan ikatan erat yang terjalin antara negara serantau.

“Ikatan erat yang terjalin sejak ribuan tahun antara negara-negara serantau mesti terus diperkukuh menerusi penerokaan budaya, khususnya dalam bidang seni visual, warisan dan pertukaran idea.

Seorang pengunjung menghayati keindahan karya seni di pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari’.

“Melalui usaha ini, kita berharap dapat memupuk bukan sahaja kerjasama perdagangan, tetapi juga penghargaan terhadap kearifan tempatan, falsafah, seni dan budaya selain dapat mengangkat martabat seni tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan serantau sebegini mampu menarik minat pelawat dari negara jiran, selari dengan aspirasi negara sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Orang ramai dijemput mengunjungi pameran ‘KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari’ yang dibuka kepada umum hingga 31 Mei 2026 di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.artgallery.gov.my atau menerusi media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.