
Pada tahun 2012, Heui Foong sedang mencari hobi baru sehingga dia menemui seni tanah liat polimer.
“Tanah liat polimer adalah bahan yang sangat menarik untuk membuat barangan kraf; ia versatile dan tahan lama,” kata wanita berusia 34 tahun itu, sambil menjelaskan apabila dibakar dalam ketuhar, ia mengeras dan menjadi kalis air.
Jelas Heui, anda boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan tanah liat polimer, termasuk rantai kunci, anting-anting, loket dan barangan hiasan.
“Saya banyak belajar melalui YouTube, majalah dan buku-buku,” katanya, sambil menambah dia turut terinspirasi oleh beberapa artis tanah liat polimer tempatan.
“Saya tidak berniat untuk menjualnya. Saya hanya mahu berseronok; untuk bermain dan meneroka,” ujar Heui lagi yang terlatih sebagai seorang pereka multimedia.

Dalam masa yang singkat, hobi itu berubah menjadi satu obsesi.
Tidak berpuas hati dengan harganya yang tinggi dan pelbagai bekalan kraf tempatan yang terhad, dia dan suaminya, Seng Weay Chorng, yang juga seorang peminat kraf, memutuskan untuk menubuhkan Malaysia Clay Art, sebuah kedai membekalkan barangan kraf di Ampang.
Pasangan itu berhasrat untuk menyediakan bekalan kraf berkualiti tinggi pada harga mampu milik kepada orang ramai kerana mereka percaya bahawa setiap orang perlu diberi peluang untuk meluahkan perasaan mereka.
“Kreativiti tidak sepatutnya menelan kos yang tinggi,” katanya.
Bermula dengan hanya membekalkan tanah liat polimer, bahan di kedai mereka kini semakin pelbagai termasuk jenis tanah liat lain, sabun dan bahan membuat lilin hingga kepada pelbagai peralatan seni.

Selain tanah liat polimer, Malaysia Clay Art turut membekalkan tanah liat kering, tanah liat kertas dan yang lebih ‘profesional’ seperti tanah liat seramik dan ukiran.
“Tanah liat kering sesuai untuk kanak-kanak yang lebih kecil kerana ia tidak perlu dibakar,” katanya, menjelaskan bahawa bahan itu ringan, ‘seperti span’, dan tidak kalis air.”
Tambah Heui, tanah liat kertas juga adalah pilihan yang sangat popular, dan ia boleh dikeringkan dengan udara.
Selain seni tanah liat, Heui turut berjinak-jinak dengan seni damar. Resin adalah sebatian kimia unik yang mengeras untuk membentuk bahan yang lebih tahan lama.
Sebaik dicurahkan ke dalam acuan, anda boleh memasukkan pigmen, ‘glitter’, bunga, daun, serangga, manik dan pelbagai objek lain.

Bagaimana untuk memulakan seni tanah liat polimer?
Tanah liat polimer perlu ‘dirapikan’ sebelum dapat digunakan, kerana dengan berbuat demikian campuran bahan akan lebih sekata dan mengeluarkan gelembung udara yang terperangkap.
Untuk melakukannya, tanah liat akan diuli menjadi bola atau ‘ular’ beberapa kali.
“Anda juga boleh menguli tanah liat menggunakan penggelek pasta atau mesin pengadun tanah liat beberapa kali sehingga ia menjadi lembut dan mudah dibentuk,” katanya sambil menambah produk akhir mungkin menjadi rapuh jika langkah penting ini ditinggalkan.
Sebaik sahaja anda membentuk dan mereka bentuk tanah liat seperti yang dikehendaki, tiba masa untuk membakarnya di dalam ketuhar.
Pada suhu 120°C, kepingan yang lebih kecil akan memakan masa sekitar 15 minit untuk masak, manakala kepingan yang lebih besar mungkin memakan masa sekitar 20 minit atau lebih lama.
“Ia bergantung pada ketuhar anda, kerana setiap oven berfungsi dengan berbeza,” kata Heui, sambil menegaskan bahawa hasil itu mungkin hancur jika tidak dipanggang dengan betul.
Anda perlu berhati-hati dan memastikan tanah liat polimer tidak terbakar kerana tanah liat polimer itu sendiri tidak bertoksik, namun membakarnya mengeluarkan sejumlah kecil gas hidrogen klorida, yang bersifat kaustik dan merengsakan badan.
Selepas membakar, anda boleh memilih untuk mengecat kepingan itu menggunakan akrilik, sebelum menyalutnya dengan glis bagi menampilkan kesan yang diingini selain untuk perlindungan.

Disebabkan oleh wabak itu, kedai terpaksa ditutup buat sementara waktu kepada orang ramai, kecuali untuk mengambil barang yang ditempah.
“Saya juga pernah mengadakan bengkel membuat barang kemas di kedai ini,” katanya, yang merancang untuk mengeluarkan lebih banyak tutorial video di saluran YouTube mereka sementara menunggu pandemik reda.
Dari sudut positif, peralihan ketika pandemik tidaklah terlalu menjejaskan, kerana Heui dan pasukannya lebih fokus pada penjualan dalam talian sejak beberapa tahun lalu kerana kedainya terletak agak jauh dari pusat bandar.
Heui berkata walaupun seni tanah liat merupakan industri khusus, sambutannya setakat ini agak baik.
“Namun ruang itu ada untuk kami meneroka dan memperkenalkan produk terbaharu,” katanya.
Nasihatnya, bagi mereka yang berminat untuk memilih seni tanah liat, carilah watak yang disukai.
“Saya dulu peminat SpongeBob, jadi saya banyak menghasilkan ukiran tanah liat SpongeBob!” katanya, ketawa.
Menghasilkan aksesori yang dapat digunakan seperti anting-anting, gelang dan loket juga akan memberi motivasi kepada diri untuk terus berkarya.
“Ia bukan sesuatu untuk disimpan, jadi anda tidak akan merasa ia satu pembaziran.”
Anda boleh mendapatkan peralatan seni dari Malaysia Clay Art melalui laman web mereka dan Shopee. Ikuti mereka di Facebook, Instagram dan YouTube, atau WhatsApp di +6011-1672 9640.
Malaysia Clay Art
Spring Ville, D-01-11 & 12 Pangsapuri,
Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana,
68000 Ampang, Selangor
(Ditutup sementara sehingga diberitahu kelak)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]