Guru matematik, pemegang rekod dunia sukan ‘box jumping’

Guru matematik, pemegang rekod dunia sukan ‘box jumping’

Apabila Harinder Sekhon tidak mengajar matematik, dia akan menghabiskan masanya membuat latihan ‘box jumping’ yang mana dia merupakan pemegang rekod kebangsaan dan dunia.

Harinder Sekhon, 30, seorang guru matematik yang menceburi sukan ‘box jumping’ sewaktu pandemik. (Gambar Harinder Sekhon)
PETALING JAYA:
Sukan ini mungkin tidak popular di Malaysia tetapi Harinder Sekhon bukan hanya pernah memenangi beberapa gelaran melaluinya tetapi dia juga menggunakan platform media sosial untuk berkongsi minat dan semangatnya dalam sukan ‘box jumping’.

Segalanya bermula apabila sekatan perjalanan yang dilaksanakan kerajaan membuatkan anak muda yang tidak betah duduk diam ini cuba untuk mencari sukan yang boleh membuatkan dia aktif.

“Saya mencari aktiviti yang boleh dilakukan sendirian kerana sewaktu pandemik kita tidak dibenarkan bersukan secara kumpulan,” ujarnya kepada FMT.

Dari situ dia temui sukan ‘box jumping’ di Instagram dan berminat untuk mencubanya. Maka, pada Disember 2020, buat pertama kalinya anak muda berusia 30 tahun ini mula berlatih ‘box jumping’.

Hasilnya, berkat semangat dan usaha kerasnya, selepas beberapa bulan dia berupaya memecahkan rekod dunia di Guiness World Record dalam kategori lompatan berdiri tertinggi sebelah kaki.

Walau ia hanya memerlukan dia berlatih beberapa bulan saja, Harinder bagaimanapun berkata dia tidak pernah terfikir untuk melakukannya semasa menceburi sukan itu.

“Apabila saya menceburi sukan ini, saya tidak pernah terfikir ia akan membawa saya sejauh ini,” ujarnya tersenyum.

Malah, menurutnya keputusan untuk memecahkan rekod dunia tercetus pada suatu malam apabila sedang makan malam bersama keluarganya.

“Ayah saya melawak tentang saya memecahkan rekod dunia dan di waktu itu saya terfikir, mengapa tidak!” ujarnya.

Harinder pemegang rekod kebangsaan untuk lompatan berdiri tertinggi dan rekod dunia untuk lompatan berdiri tertinggi sebelah kaki. (Gambar Harinder Sekhon)

Menurut Harinder, dia bercadang untuk mencipta rekod kebangsaan terlebih dahulu yang dilakukan pada bulan Mac lalu dan kini dia memegang rekod kebangsaan untuk lompatan berdiri tertinggi pada 140 cm.

Kurang dua bulan kemudian, Harinder mencuba untuk memecahkan rekod dunia dan dia berjaya memegang rekod untuk lompatan berdiri tertinggi sebelah kaki di ketinggian 138.4 cm.

Namun begitu, mendapatkan gelaran tersebut bukanlah mudah dan Harinder telah bekerja keras berlatih untuk berada di tempatnya sekarang.

Bagi memastikan dia kekal di kedudukan itu, Harinder telah menetapkan rutin latihan buat dirinya dari segi mental dan fizikal.

“Setiap pagi saya akan melakukan yoga, diikuti dengan sarapan dan urutan serta mandian ais,” ujarnya menambah bahawa dia akan ke gim dan melakukan latihan ‘box jumping’ setiap hari.

Untuk kekal sihat, Harinder memenuhi diet yang ketat dan menetapkan rutin untuk dirinya. (Gambar Harinder Sekhon)

Harinder juga mengamalkan diet yang ketat agar sentiasa berada dalam keadaan sihat. Dia mengamalkan makanan sihat, mengelakkan makanan segera, coklat dan hidangan pencuci mulut.

“Makanan sihat bermaksud saya tidak akan dapat merasa kek hari jadi pada tahun ini,” ujarnya sambil ketawa.

Walau bagaimana pun, pengorbanannya itu berbaloi apabila dia berjaya memecahkan rekod dunia.

Namun, menceburi sukan ini dan memegang rekod, bukanlah sesuatu yang selalu indah buatnya. Dia turut menerima komen-komen negatif di media sosial mengenai sukan kegemarannya itu.

Walau bukan mudah untuk menepis segala rasa kecewa, dia terus kuat memotivasikan diri dan bertekad untuk terus mencapai kejayaan yang membuatkan dia akan terus bertahan.

Sememangnya bukan hanya sukan, Harinder sebenarnya adalah seorang guru matematik yang kini mengajar di sebuah sekolah antarabangsa.

“Sudah 6 tahun saya mengajar matematik dan apabila tiada latihan, saya akan menghabiskan masa dengan matematik,” kongsinya kepada FMT.

Harinder telah bermain kriket sejak kecil dan kini dia juga merupakan seorang pemain kriket kebangsaan. (Gambar Harinder Sekhon)

Guru matematik ini juga bukan sekadar aktif dalam sukan ‘box jumping’ tetapi juga sukan kriket yang mana menurutnya sewaktu di sekolah dulu dia turut aktif dalam permainan bola sepak dan bola keranjang.

“Saya mula bermain kriket sewaktu berusia 14 tahun dan dua tahun lalu, saya bermain untuk pasukan kebangsaan dan masih terus bermain. Namun berikutan pandemik, latihan terpaksa ditunda tetapi sekarang ia telah disambung kembali.

“Kini jadual saya agak padat, dengan kerja dan latihan kriket serta ‘box jumping’,” katanya.

Harinder terus bekerja keras dan berharap dia dapat menubuhkan pasukan kebangsaan untuk ‘box jumping’. (Gambar Harinder Sekhon)

Perancangan masa hadapan, Harinder ingin mencipta rekod baharu dan ini bermakna dia perlu bekerja lebih keras.

“Matlamat utama saya adalah untuk menyambung semula ‘box jumping’ dan menubuhkan pasukan kebangsaan,” tambahnya jika segalanya berjalan lancar, dalam masa beberapa minggu lagi dia boleh mencapai impiannya tersebut.

Layari Instagram Harinder untuk melihat video aktiviti dan rutin latihan serta tip-tip diet darinya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.