Pemain bola sepak, futsal wanita negara cetus inspirasi

Pemain bola sepak, futsal wanita negara cetus inspirasi

Tidak mahu menoleh ke belakang, pemain bola sepak dan futsal negara, Steffi Sarge Kaur, berharap perjalanan bola sepaknya akan terus mencetus inspirasi kepada wanita lain.

Steffi Sarge Kaur mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak dan mewakili negara sejak kecil lagi. (Gambar Steffi Sarge Kaur)
PETALING JAYA:
Walaupun bola sepak lazimnya dilihat sebagai sukan lelaki, beberapa tahun kebelakangan ini wanita mula mengambil alih sukan itu dan menjadi tumpuan media.

Dan berkat kejayaan yang dilakar Steffi Sarge Kaur, bola sepak wanita di Malaysia turut mendapat impak yang sama.

Anak kelahiran Perak yang berbangsa Punjabi, Cina dan Siam ini sentiasa mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak malah pernah mewakili Malaysia dalam pasukan kebangsaan bola sepak dan futsal.

Wanita berusia 33 tahun itu mengimbau kembali bagaimana hatinya mula terpaut dengan sukan tersebut selepas sering mengikut bapanya ke padang berhampiran rumah mereka untuk menonton mereka bermain bola sepak bersama rakan-rakan.

“Dia sering mengadakan perlawanan bola sepak dan saya akan turut serta untuk melihat dia bermain,” tambahnya yang walaupun baru berusia 8 tahun, namun sedar dia mahu menjadi seorang pemain bola sepak suatu hari nanti.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan sekolah di Malaysia, sekolah Steffi tidak mempunyai pasukan bola sepak perempuan dan tidak berpeluang bermain bola sepak di sekolah.

Tetapi ia tidak menghalangnya untuk bermain sukan kegemarannya itu. Steffi mula bermain bola sepak di luar sekolah dengan sekumpulan rakan untuk meneruskan minatnya terhadap sukan tersebut.

“Saya pernah bermain bola sepak selepas sekolah dan merupakan satu-satunya gadis yang bermain,” katanya sambil ketawa ketika berkongsi dengan FMT.

Steffi pernah mewakili Malaysia dalam pasukan bola sepak dan futsal kebangsaan. (Gambar Steffi Sarge Kaur)

Sejak kecil lagi, Steffi cukup aktif bersukan. Bagaimanapun, oleh kerana dia hanya boleh bermain bola sepak di luar sekolah, Steffi mengakui bola sepak hanyalah hobi sehingga dia dewasa dan mampu bermain sepenuh masa.

Disebabkan tidak dapat bermain bola sepak di sekolah, Steffi melibatkan diri dalam banyak sukan lain ketika masih bersekolah.

“Saya pernah bermain bola jaring, bola baling, badminton dan juga hoki,” katanya.

Dia juga berpeluang mewakili negara di peringkat negeri untuk acara bola baling pada usia 12 tahun selain hoki di mana dia bermain dalam kategori bawah 15 dan bawah 18 tahun.

Sejak terlibat dalam pelbagai jenis sukan, Steffi menanam impian untuk mewakili negaranya dalam pasukan Kebangsaan suatu hari nanti.

“Tidak kira sukan apapun, kerana ketika membesar saya menyertai banyak sukan dengan harapan akan dapat mewakili pasukan kebangsaan,” katanya kepada FMT.

Impian Steffi untuk mewakili negara dalam pasukan kebangsaan menjadi kenyataan pada 2007 apabila dia mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) yang berlangsung di Thailand.

Lima tahun kemudian pada 2013, dia mewakili negara sekali lagi tetapi kali ini untuk futsal di Sukan SEA di Myanmar di mana dia membantu pasukannya memenangi pingat gangsa.

Steffi dan pasukannya di Palestin ketika menentang Thailand dan Palestin untuk Piala Asia Wanita AFC 2022. (Gambar Steffi Sarge Kaur)

Tidak menoleh ke belakang, terbaru pada bulan September, Steffi berpeluang kembali bermain untuk pasukan Bola Sepak Wanita Malaysia.

Dia dan pasukannya yang terdiri daripada 23 pemain bola sepak wanita terbang ke Palestin untuk menyertai Kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2022.

Di situ mereka berdepan pasukan Thailand dan berjaya menewaskan pasukan Palestin.

Jelas Steffi, kejohanan AFC adalah antara yang terbesar dalam sejarah bola sepak wanita dan dia cukup berbesar hati kerana dapat mewakili negara.

Walaupun menerima maklum balas negatif sepanjang tahun, Steffi terus melakukan yang terbaik untuk membuktikan bahawa mereka salah dan wanita mampu bermain bola sepak. (Gambar Steffi Sarge Kaur)

Malangnya, dalam sukan yang didominasi lelaki ini, Steffi terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan sikap negatif.

Sejak sekian lama bermain bola sepak, Steffi mengakui pernah menerima beberapa komen negatif dalam talian daripada troll internet.

Namun dia memilih untuk mengabaikannya dan membiarkan kemahiran bola sepaknya berkata-kata.

“Ramai mungkin mengatakan gadis tidak sepatutnya bermain bola sepak, tetapi saya sentiasa menganggapnya sebagai cabaran untuk membuktikan mereka salah,” ujarnya.

Steffi percaya bahawa jantina tidak seharusnya menghalang kita daripada mencapai impian. Dan dia semestinya telah memecahkan semua stereotaip dengan menguasai sukan yang didominasi lelaki itu.

Dia menasihati gadis-gadis muda yang bersemangat untuk menyertai sukan tersebut supaya “jangan takut”.

Tambahnya “Tiada yang mustahil jika anda memberikan fokus kepadanya.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.