‘SpongeBob’ dan ‘Patrick’ ditemui di dasar laut Atlantik

‘SpongeBob’ dan ‘Patrick’ ditemui di dasar laut Atlantik

Kedua-duanya ditemui di dalam Lautan Atlantik, kira-kira 321 kilometer dari pantai New York ketika pasukan saintis NOAA menyelam ke dasar laut menggunakan kapal selam kawalan jauh (ROV).

Kumpulan tersebut menemui span Hertwigia dan tapak sulaiman spesies Chondraster dalam keadaan berdekatan di antara satu sama lain ketika meninjau ke dasar laut Atlantik.

Jika sebelum ini kita sering menonton rancangan kartun popular SpongeBob SquarePants di televisyen, kini sekumpulan saintis marin di Amerika Syarikat benar-benar menemui spesies span laut berwarna kuning dan seekor tapak sulaiman berwarna merah jambu yang menyerupai dua watak siri kartun tersebut.

‘SpongeBob’ dan sahabat baiknya, ‘Patrick Star’ ditemui di atas seketul batu di Retriever Seamount di dalam Lautan Atlantik, kira-kira 321 kilometer dari pantai New York.

Menurut The New York Post, kedua-duanya ditemui ketika pasukan saintis daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) menyelam ke dasar laut menggunakan kapal selam kawalan jauh (ROV).

Seorang saintis, Christopher Mah kemudian memuat naik gambar penemuan tersebut ke dalam akaun Twitternya.

“Saya selalunya akan mengelak dari terumbu karang, namun kali ini saya bertemu dengan SpongeBob dan Patrick yang sebenar,” ujar Mah dalam ciapannya.

Jelas Mah, objek berwarna kuning yang kelihatan seperti span itu dinamakan Hertwigia dan tapak sulaiman itu adalah Chondraster.

Namun, dia berkata warna watak kartun tersebut telah ditokok-tambah kerana warnanya yang sebenar tidak begitu terang.

“Sebagai ahli biologi yang pakar mengenai lautan, kami sama sekali tidak menerima logik watak SpongeBob, namun siapa sangka, ia benar-benar ‘wujud’,” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial merasa teruja dengan penemuan tersebut dan merasa kagum melihat watak kartun kegemaran ramai itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.