Saya beritahu SPRM perkara sebenar, kata saksi perbicaraan Guan Eng

Saya beritahu SPRM perkara sebenar, kata saksi perbicaraan Guan Eng

Zarul Ahmad Zulkifli berkata SPRM mengumpul bukti kukuh daripada pelbagai pihak ketika menyoalnya mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang pada 2018.

Zarul Ahmad Zulkifli berkata beliau tiada pilihan selain memberitahu perkara sebenar kepada SPRM. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Saksi utama perbicaraan rasuah Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen yang beliau memberikan keterangan benar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli berkata beliau antara individu terakhir disoal siasat SPRM pada 2018 dan direman selama 11 hari.

“SPRM menunjukkan semua dokumen yang mereka ada (berkaitan projek tersebut). Mereka sudah pun mengumpul bukti kukuh daripada pelbagai pihak,” kata Zarul kepada mahkamah.

“Saya tiada pilihan selain memberitahu mereka perkara yang berlaku.”

Zarul berkata SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya merampas dokumen dalam serbuan setahun sebelum itu.

Beliau memberi mahkamah sebuah peti besi mengandungi wang tunai tidak disentuh.

Dakwanya, wang itu untuk kegunaan kecemasan dan menyokong calon-calon menjelang PRU 2018.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut daripada Zarul, serta menerima suapan berjumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan terbabit.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan tanah milik negeri bernilai RM208.7 juta.

Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Azura Alwi pada 26 Ogos.

Terdahulu, peguam Lim, Haijan Omar, memaklumkan yang pihaknya akan mengemukakan semula kenyataan pembelaan memandangkan pihak pendakwaan mengesahkan ia tidak berada dalam rekod mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.