Saintis rugi lebih RM400,000 terpedaya pelaburan forex palsu

Saintis rugi lebih RM400,000 terpedaya pelaburan forex palsu

Kejadian berlaku selepas lelaki berusia 26 tahun itu berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Xion Hong Shu.

hacker scammer
Mangsa yang mendapat keuntungan daripada pelaburan awal menambah pelaburan RM466,078.51 menerusi 13 transaksi sebelum menyedari ditipu, kata Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail.
PETALING JAYA:
Seorang saintis di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang kerugian RM466,078 selepas wang simpanannya lebur akibat tertipu dengan pelaburan dalam talian menerusi sebuah platform, awal September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata kejadian berlaku selepas lelaki berusia 26 tahun itu berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Xion Hong Shu.

Katanya, mangsa ditawarkan satu pelaburan yang kononnya mampu memberi keuntungan lumayan dalam tempoh singkat menerusi dagangan mata wang asing (forex).

“Mangsa diminta memuat turun aplikasi bagi pendaftaran sebelum membuat pelaburan pertama RM4,500 pada 6 Oktober ke akaun individu di sebuah bank sebelum menerima pulangan RM4,754.

“Yakin dengan keuntungan itu, mangsa menambah pelaburannya kepada RM466,078.51 menerusi 13 transaksi yang dimasukkan ke dalam tujuh akaun bank berbeza antara 6 Oktober hingga 17 November lalu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun berasa curiga apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan, sebaliknya diminta membuat pembayaran tambahan untuk tujuan pengeluaran.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di IPD Barat Daya semalam selepas menyedari dia ditipu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.