Guan Eng ‘janji’ projek terowong secara rundingan terus, kata ahli perniagaan

Guan Eng ‘janji’ projek terowong secara rundingan terus, kata ahli perniagaan

Zarul Ahmad Zulkifli berkata janji itu dibuat oleh bekas ketua menteri Pulau Pinang sekitar Mac 2011.

Zarul-Ahmad-Mohd-Zulkifli_Lim-Guan-En
Zarul Ahmad Zulkifli berkata Lim Guan Eng menawarkan projek terowong dasar laut kepadanya sebagai balasan untuk mengatur satu MoU dengan perdana menteri China.
KUALA LUMPUR:
Saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa bekas ketua menteri Pulau Pinang itu pernah berjanji akan memberikan projek tersebut kepada syarikatnya secara rundingan terus.

Ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, mendakwa janji itu dibuat sekitar Mac 2011 dan beliau memaklumkan perkara itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika kenyataannya dirakam tujuh tahun kemudian.

“Saya beritahu mereka Lim berkata jika saya boleh mengatur untuk satu MoU (memorandum persefahaman) ditandatangani dengan perdana menteri China, beliau akan menganugerahkan saya projek terowong itu melalui rundingan terus,” kata Zarul.

Zarul berkata beliau turut memaklumkan SPRM butiran terperinci wang yang didakwa dibayar kepada Lim semasa siasatan badan itu terhadap Lim sedang berjalan.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak memberikan ‘keseluruhan cerita’ ketika kenyataannya dirakam dalam siasatan kes penipuan membabitkan seorang lagi ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Lim dibicarakan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta sebagai suapan daripada Zarul.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan salah guna melibatkan tanah bernilai RM208.7 juta milik kerajaan negeri daripada dua syarikat.

Lim berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan.

Lim juga didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu.

Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Mahkamah turut akan memutuskan sama ada membenarkan pihak pendakwaan memanggil pegawai penyiasat, Ng Heng Jun, yang menyiasat Gnanaraja berhubung kes penipuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ng adalah pegawai yang dikatakan mengarahkan Zarul untuk ‘memberi kenyataan berasingan’ bagi kes Gnanaraja dan Lim.

Beliau berkata, keterangan Ng diperlukan untuk menyokong dakwaan Zarul.

Peguam Tiara Katrina Fuad, yang mewakili Lim, berkata Ng tidak dinamakan sebagai pegawai perakam yang mengambil kenyataan Zarul.

“Beliau tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi tentang apa yang berlaku (semasa rakaman kenyataan),” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi akan bersambung pada 9 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.