Hakim tegur peguam Guan Eng tanya soalan sama kepada saksi

Hakim tegur peguam Guan Eng tanya soalan sama kepada saksi

Azura Alwi berkata soalan dikemukakan peguam RSN Rayer dan Haijan Omar mengenai isu sama tetapi 'menggunakan struktur ayat berbeza'.

Lim Guan Eng dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta suapan daripada Zarul Ahmad Zulkifli 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut.
KUALA LUMPUR:
Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes rasuah terowong dasar laut bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu peguam supaya tidak terus bertanya soalan sama kepada saksi utama.

Azura Alwi menyatakan soalan dikemukakan kepada Zarul Ahmad Zulkifli oleh peguam RSN Rayer dan Haijan Omar mengenai “isu sama tetapi menggunakan struktur ayat berbeza”.

“Saya ada fakta (mengenai kes ini). Tetapi apabila anda memanjangkan perkara ini, ia membuatkan saya hilang fokus,” katanya.

“Kita masih mempunyai beberapa bahagian lagi yang perlu dilakukan. Saya tidak tahu berapa lama masa diperlukan untuk menyiapkannya (menyoal Zarul),” katanya.

Haijan kemudian memohon maaf bagi barisan pembelaan.

Terdahulu, peguam Lim bertanya kepada Zarul tentang sumber wang dikatakan RM2 juta diberikan kepada rakan perniagaan G Gnanaraja pada 2017.

Haijan berkata, terdapat percanggahan material antara kenyataan Zarul pada 2018 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangannya di mahkamah.

Peguam itu berkata, ketika Zarul memberitahu SPRM dia meminjam kira-kira RM2 juta daripada ahli perniagaan lain untuk membayar Gnanaraja, namun di mahkamah, beliau berkata RM2 juta itu adalah hasil penjualan sebidang tanah.

Zarul bagaimanapun tidak bersetuju ia adalah satu percanggahan.

Haijan kemudian berkata, syarikat Zarul mengambil pinjaman daripada Maybank juga untuk tujuan itu.

Azura memberitahu pihak pembelaan mereka boleh mengemukakan perkara itu pada akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, Rayer bertanya sama ada Zarul berbohong kepada SPRM mengenai perkara berkenaan pada 2018, dengan mendakwa Zarul tidak mendedahkan perkara sebenar.

“Kamu menuduh saya (berbohong), dan saya tidak bersetuju dengan kamu,” kata Zarul.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat kemudian memberitahu mahkamah bahawa soalan mengenai kenyataan Zarul kepada SPRM telah pun dibangkitkan.

Azura memberitahu Rayer untuk beralih kepada isu lain sambil berkata “tiada gunanya” bertengkar dengan Zarul mengenai kenyataannya.

“Jika kamu teruskan (bertanya kepada Zarul), kamu tidak akan mendapat jawapan yang dimahukan,” katanya.

Perbicaraan bersambung pada Khamis.

Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong itu, dan menerima sogokan sejumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan tersebut antara 2011 dan 2017.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.