
Sebuah prototaip kereta terbang berjaya menghabiskan ujian penerbangan selama 35 minit antara lapangan terbang antarabangsa di Nitra dan Bratislava, Slovakia.
Kereta terbang hibrid dinamakan sebagai AirCar itu dilengkapi dengan enjin BMW dan ia menggunakan bahan bakar petrol biasa.
Ia hanya mengambil masa dua minit 15 saat untuk bertukar daripada kereta biasa kepada kereta terbang.
Penciptanya, Prof Stefan Klein berkata, ia mampu terbang kira-kira 1,000 kilometer pada ketinggian 2,500 meter dan sehingga kini sudah melakukan sekitar 40 jam ujian penerbangan.
Tidak seperti prototaip teksi dron, kereta terbang yang boleh membawa dua orang dengan berat maksimum 200 kilogram (kg) ini tidak boleh berlepas secara menegak dan memerlukan landasan untuk beroperasi.
Syarikat yang mengendalikan AirCar, Klein Vision menjelaskan mereka mengambil masa dua tahun untuk membangunkannya dengan kos pelaburan tidak sampai 2 juta euro (RM9.87 juta).
Penasihat dan pelabur dalam Klein Vision, Anton Rajac berkata, ia dianggap satu kejayaan besar sekiranya syarikat itu berjaya menguasai pasaran dalam jualan pengangkutan udara.
“Terdapat kira-kira 40,000 tempahan pesawat hanya di Amerika Syarikat (AS) saja. Jika menukarnya kepada 5 peratus kepada kereta terbang, kita akan menguasai pasaran yang luas,” katanya.
Sementara itu, seorang felo penyelidikan kanan avionik dan kapal terbang, Dr Stephen Wright pula menyifatkan AirCar sebagai hasil gabungan antara Bugatti Veyron dan Cesna 172.
“Saya perlu akui bahawa ia nampak mengagumkan tetapi saya mempunyai beratus soalan mengenai pensijilannya.
“Sesiapa pun boleh menghasilkan kapal terbang tetapi persoalan sebenarnya ialah untuk menjadikannya terbang berjam-jam di udara dengan membawa penumpang tanpa sebarang insiden.
“Saya tidak sabar untuk melihatnya diberi kelulusan bahawa ia selamat untuk terbang dan boleh dijual,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]