
Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.24 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri berkenaan meletakkan kereta di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuan mereka dalam kereta untuk membeli sarapan.
“Susulan itu, polis melancarkan Operasi Tutup dan hasil bantuan orang awam, kenderaan terbabit berjaya ditemukan di kawasan Apartmen Mentari Court, Petaling Jaya, kira-kira tiga jam selepas operasi dijalankan dan kanak-kanak itu telah diserahkan semula kepada pasangan terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Shamsudin berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu bagi mengelak kekeliruan serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222 atau pegawai penyiasat Mohd Azman Ayob 012-223 7272.