Pesawat AirAsia ke Brunei dilencong ke KK kerana isu tekanan kabin

Pesawat AirAsia ke Brunei dilencong ke KK kerana isu tekanan kabin

Penerbangan AK278 mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada Jumaat lalu tanpa sebarang insiden.

Flight AK278’s tracking data
Data penjejakan penerbangan AK278 yang tular di media sosial pada Jumaat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Brunei membuat lencongan sebagai langkah berjaga-jaga ke Kota Kinabalu pada Jumaat susulan isu teknikal berkaitan tekanan kabin.

Penerbangan AK278, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.45 petang dan dijadualkan tiba di Brunei pada 4.05 petang, dilencongkan ke Kota Kinabalu.

Insiden itu menarik perhatian orang ramai selepas satu hantaran di Facebook yang memaparkan data penjejakan penerbangan tersebut tular, dengan mendakwa pesawat itu mengisytiharkan kecemasan dan melakukan penurunan terkawal di atas Laut China Selatan.

Amaran tekanan kabin lazimnya mendorong pesawat mengurangkan ketinggian sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang.

Dalam kenyataan, AirAsia memaklumkan bahawa penerbangan AK278 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan semua penumpang serta kru turun dari pesawat tanpa sebarang insiden.

Menurutnya, juruterbang mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan selepas isu tersebut dikesan semasa penerbangan.

Pesawat jenis Airbus itu kini sedang menjalani pemeriksaan teknikal dan kerja-kerja pembaikan.

AirAsia berkata penumpang dibantu oleh kakitangan dan meneruskan perjalanan mereka dengan penerbangan lain pada jam 8.08 malam hari yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra, berkata kru penerbangan dan kru kabin bertindak pantas serta profesional dalam mengendalikan situasi tersebut.

“Dengan rancangan perjalanan hujung tahun sedang berlangsung, pasukan kami beri tumpuan untuk meminimumkan gangguan. Kami berterima kasih kepada tetamu atas kesabaran dan kefahaman mereka ketika kami berusaha memastikan mereka dapat meneruskan perjalanan dengan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.