
Sekumpulan pembuat coklat di Negara Basque, Sepanyol mempamerkan bakat mereka mencipta karya seni Pablo Picasso, ‘Guernica’ menggunakan manisan itu sebagai simbolik tragedi pengeboman bandar kecil Basque pada 1937.
Guernica adalah salah satu daripada lukisan terkenal dunia yang dihasilkan oleh Picasso sebagai respon terhadap pengeboman dilakukan oleh Jerman Nazi dan Fasis Itali untuk membantu tentera Jeneral Francisco Franco ketika Perang Saudara Sepanyol.
Lukisan yang kini tergantung di galeri seni Reina Sofia di Madrid itu memberi gambaran mengerikan mengenai penyeksaan manusia dan haiwan dalam warna hitam putih.
Bagi kebanyakan penduduk Basque, kenangan terhadap pengeboman serta lukisan Picasso itu dianggap sebagai sebahagian daripada identiti budaya mereka.
Sempena ulang tahun ke-85 tragedi itu, seramai 40 pembuat coklat daripada persatuan tempatan dikenali sebagai Euskal Gozogileak bekerjasama untuk menghasilkan interpretasi mereka terhadap lukisan berkenaan.
“Ada bahagian menggambarkan penderitaan dan ada juga ketenangan. Terdapat mesej yang memberi harapan. Bagi kami, ia juga adalah lambang kepada tanah air kami,” kata presiden kumpulan itu, Lorena Gomez.
Projek itu akan menguji kemampuan teknikal masing-masing memandangkan saiz lukisan itu agak besar apabila mempunyai ketinggian hampir 3.5 meter dan 8 meter lebar.
Pembuat coklat itu yang sebelum ini mempunyai pengalaman di dapur industri di bandar kecil Lezo cuba melepasi cabaran terbabit dengan menghasilkan 14 keping coklat besar secara berasingan.
“Kami perlu memadankan dengan templat yang, warna dan imej berbeza dan setiap daripada kami mempunyai tugas ditetapkan. Mungkin kami terlepas pandang beberapa perincian tetapi ia tetap dihasilkan dengan baik,” kata salah seorang pembuat coklat, Ismail Sayalero.
Coklat lukisan yang dihasilkan mereka itu akan dipamerkan di beberapa lokasi termasuk bandar Guernica.
Selain mengambil bahagian dalam acara kebudayaan, pembuat coklat terbabit juga ingin mempamerkan keupayaan mereka dalam seni menghasilkan coklat.
“Seni membuat manisan tidak begitu mendapat perhatian dan kita mahu ia mendapat pengiktirafan yang sepatutnya,” kata Gomez.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]