SPRM dalam proses bawa pulang aset bernilai tinggi

SPRM dalam proses bawa pulang aset bernilai tinggi

SPRM sedang menilai keperluan logistik bagi membawa pulang aset-aset bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1MDB.

sprm macc
SPRM berkata aset bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses membawa pulang aset-aset bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1MDB untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, SPRM sedang menilai keperluan logistik serta kos yang terlibat bagi membawa pulang aset-aset berkenaan.

Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang Christie’s dan Sotheby’s Auction House Amerika Syarikat (AS), antaranya Pablo Picasso ‘L’Ecuyere et les clowns’ (1961); Joan Miró ‘Composition’ (1953); William H Bailey ‘Still Life’ (b. 1930); Alexander Calder ‘Studies for Sculpture’ (1898-1976) dan Henri Matisse ‘Femme Assise’ (1869-1954), yang semuanya bernilai melebihi USD30 juta.

“Aset bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran, manakala aset bawah jagaan Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di AS, khususnya melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DoJ).

“Kos membawa pulang aset-aset ini adalah tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan, selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing,” katanya.

Sumber berkata pemulangan aset-aset itu telah dipersetujui sebagai sebahagian usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB, serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan dan DoJ di Washington dan New York pada 9 dan 11 Dis lepas.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi beritahu SPRM masih meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset termasuk hartanah, aset kewangan dan aset bernilai tinggi melibatkan bidang kuasa berbeza.

Terbaharu siasatan turut melibatkan individu yang dikaitkan dengan kesalahan 1MDB yang memiliki kediaman mewah di luar negara serta penyelewengan melibatkan firma guaman luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.