Tsen kembali menggegar sukan berbasikal

Tsen kembali menggegar sukan berbasikal

Bekas pelumba kebangsaan berusia 52 tahun, Tsen Seong Hoong pernah mengharumkan nama Malaysia di Sukan SEA 1995 di Thailand.

Perjalanannya sebagai pelumba basikal diberi penghormatan besar selain dianggap sebagai legenda. (Gambar Tsen)
GEORGE TOWN:
Nama Tsen Seong Hoong mungkin agak asing bagi mereka yang tidak meminati sukan namun ia adalah satu nama yang digeruni dalam dunia sukan berbasikal Malaysia sejak 1985.

Namanya menjadi sebutan sejak memenangi pingat emas untuk Malaysia ketika Sukan SEA 1995 di Thailand selain membawa pulang pingat perak di Jakarta.

Kejayaannya tidak terhenti di situ apabila dia terus menaikkan nama Malaysia dengan melakar beberapa kemenangan bersejarah.

Pada 2003, Tsen mengucapkan selamat tinggal kepada sukan itu selepas 18 tahun bertanding dalam dunia perlumbaan.

Namun, 13 tahun kemudian dia membuat kemunculan semula dan ternyata taring seorang juara itu tidak pernah hilang.

Tsen menyertai perlumbaan Tour of Chiang Rai 2018. (Gambar Tsen)

Kemunculan semula Tsen ke dunia kompetitif menggegarkan komuniti berbasikal di negara ini terutama apabila dia masih mengekalkan prestasinya dengan memenangi pertandingan di dalam dan luar negara.

Pada 2019, dia berjaya menamatkan perlumbaan UCI 2.2 Tour de Selangor dan mendapat tempat ke-33 daripada 120 peserta profesional, iaitu satu pencapaian yang hebat untuk Tsen yang berusia 50 tahun.

Dia yang kini berusia 52 tahun bukan hanya mencabar dirinya untuk bersaing dengan pelumba elit muda tetapi cuba melawan diri supaya tidak mudah menyerah kalah berikutan faktor usia lanjut.

“Saya ingin membuktikan kepada semua bahawa pada usia begini, saya mampu bersaing dengan generasi muda,” katanya.

Keratan akhbar menunjukkan Tsen diraikan selepas memenangi pingat emas ketika Sukan SEA di Thailand pada 1995. (Gambar Tsen)

Cintanya terhadap sukan berbasikal bermula sejak kecil lagi dan semangat itu terus berkobar sebaik menginjak ke usia remaja.

“Ayah membelikan basikal pertama kira-kira sebulan sebelum dia meninggal dunia. Itulah saat yang paling sedih dan kenangan terakhir bersama ayah,” katanya.

Selepas menduduki peperiksaan di Tingkatan Tiga, ibunya pula membelikannya sebuah basikal lumba berharga RM500.

Tsen meraikan kemenangannya dengan jurulatih, Joo Ngan pada perlumbaan Tour de Thailand. (Gambar Tsen)

“Saya suka melihat komponen baru di kedai basikal dan pada satu hari, pemiliknya bertanya sama ada saya ingin menyertai satu kumpulan basikal dikenali sebagai Freewheelers,” katanya.

Lelaki itu tidak lain tidak bukan adalah jurulatih basikal kebangsaan yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia, Ng Joo Ngan.

“Saya masih di tingkatan lima ketika menyertai perlumbaan 100 kilometer (km) dan berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Junior.

“Kemudian saya dipilih untuk menyertai Kelab Basikal Kuala Lumpur dan berlatih pada hujung minggu bersama jurulatih Ng,” katanya.

Tsen menaikkan nama Malaysia sebanyak lapan kali dalam acara Tour de Langkawi. (Gambar Tsen)

Ketika rakan sekelasnya sibuk menghabiskan cuti dengan berehat, Tsen pula menyertai Kem Bakat yang diadakan untuk mencari pelumba basikal muda dari setiap negeri.

Tsen menunjukkan kebolehannya dan diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan antarabangsa pertama, Tour de Indonesia pada 1991.

Bermula daripada situ, Tsen terus mengharumkan nama Malaysia dari 1990 hingga 2003 dan menyertai Tour de Indonesia, Tour de Langkawi, Tour de Taiwan dan Sukan SEA di Thailand dan Indonesia serta banyak lagi.

Tsen dan pasukannya memenangi pasukan keseluruhan dan kejuaraan individu di Tour de Indonesia pada 2003. (Gambar Tsen)

Selepas berjaya merangkul emas dan menjadi pelumba terpantas di Asia, Tsen merasakan dia mula menemui titik terakhir dalam arena itu.

“Ia umpama berdiri di hadapan dinding tinggi tetapi anda tidak dapat memanjat atau melepasinya. Ketika itu saya berusia 34 tahun,” katanya.

Tsen sedar, perlumbaan adalah acara yang diadakan setiap tahun dan dia hanya melakukan perkara sama secara berulang-ulang.

“Saya tidak ada motivasi untuk meneruskannya lagi pada waktu itu. Maka, saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pelumba di Asia Tenggara,” katanya.

Tsen berlatih bersama dua anak lelakinya, Ren Bao (tengah) dan Ren Han (kanan). (Gambar Tsen)

Namun, semangatnya mula tercetus kembali apabila anak lelakinya, Ren Bao mula menunjukkan minat dalam sukan berbasikal sejak berusia 12 tahun.

“Dia menyertai perlumbaan di Australia dan bulan lalu dia berlumba dalam Kejuaraan Kebangsaan Australia. Dia mendapat tempat ke-12 dalam kategori Junior,” katanya.

Tsen membuat kejutan kepada semua dan kembali pada usia 45 tahun.

“Saya mula memenangi banyak perlumbaan dalam kategori master dan mendapat tempat ke-17 dalam Tour de Selangor pada 2009.

“Saya juga adalah pelumba paling berusia dalam perlumbaan itu,” katanya.

Tsen pernah berbasikal di sekitar Jalan Duta dan Taman Tasik Perdana sebagai latihannya dulu. (Gambar Tsen)

“Seorang pelumba yang sekadar beriadah mungkin mengayuh sejauh 160km pada hujung minggu tetapi bagi pelumba, kami mengayuh sekitar 100km pada setiap hari dan keseluruhannya sekitar 600km hingga 900km setiap minggu,” katanya.

Selain dedikasi dan disiplin, Tsen berkata, seseorang harus mempunyai kekuatan mental untuk mengharungi keperitan supaya kekal di tahap kompetitif.

“Saya sentiasa ingin menjadi juara tidak kira berapa usia saya,” akui Tsen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.