Seni bento untuk suami

Seni bento untuk suami

Miki Matsuura hasilkan potret pada bento istimewa untuk suami setiap hari.

Antara hasil seni bento yang dimuatnaik di akaun media sosial Matsuura. (Gambar Instagram)

Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih sayang terhadap suami termasuk seorang wanita di Jepun yang memilih kaedah kreatif dengan menghasilkan potret pada makanan bento suaminya.

Artis dari Hiroshima itu, Miki Matsuura benar-benar menyerlahkan bakatnya biarpun ‘kanvas’ digunakan hanyalah bekas berisi nasi atau Nori Bento.

Kreativiti serta ketelitian yang dimilikinya berupaya mengubah rupa makanan bekal biasa yang dibawa suami ke tempat kerja kepada satu seni menakjubkan.

Hasil seninya semakin mendapat perhatian netizen di media sosial selepas dia sering memuat naik gambar lukisan potretnya itu.

Jika diperhatikan, lukisan potret yang dihasilkannya seolah-olah dilukis menggunakan pensel seperti watak komik manga.

Matsuura berkata, dia menghasilkan seni itu bukan bertujuan menghiburkan orang ramai sebaliknya hanya sekadar suka-suka sebagai bekal suaminya di tempat kerja.

Wanita itu mengakui, dia sebenarnya sudah lama berminat membuat seni menggunakan makanan bento.

Katanya, dia sentiasa menyediakan makanan untuk suami dan melukis pelbagai potret watak kegemaran sama ada di komik manga atau pun televisyen.

Sebelum menghasilkan lukisan dengan arang buluh, dia akan membuat lakaran pada kertas terlebih dulu sebelum menghasilkannya pada nasi.

Walaupun wanita itu baru saja berkongsi seni bento pada akaun Instagram dan Twitternya, ia kini menjadi viral malah mendapat perhatian institusi tempatan hingga ada yang meminta dia menghasilkannya untuk pelbagai acara.

Muzium Seni Yamaguchi turut memintanya menghasilkan kotak bento khas gajah Reiko untuk Pameran Ryusei Kishida dan kini ia menjadi hasil karya kegemarannya.

Biarpun wanita itu gembira dengan perhatian yang diberikan terhadap hasil seninya namun dia lebih suka membuat kejutan untuk suami dengan lukisan terbaru pada setiap hari.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.