
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kerjasama itu mengesahkan dedikasi Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap masa depan tenaga mampan dan berdaya tahan, sejajar Wawasan Komuniti Asean 2045 dan prinsip Malaysia Madani.
“Cabaran yang saling berkait demi memastikan keselamatan tenaga dan menangani perubahan iklim menuntut tindak balas bersama.
“Platform Azec berdiri sebagai wadah penting untuk rantau kita mencapai matlamat sama bagi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih dan pada masa sama memastikan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan tenaga mampu milik untuk semua,” katanya pada sidang media.
Chang berkata, mesyuarat itu menghasilkan keputusan konkrit, termasuk enam MoU antara entiti Malaysia dan Jepun, meliputi bidang pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), bahan api bio, pembiayaan, dan penyahkarbonan.
“Kerjasama kita telah menghasilkan keputusan konkrit. Mesyuarat menteri Azec ketiga telah berjaya mencapai objektifnya, mengukuhkan kerjasama erat kita dan mengambil langkah bermakna untuk meningkatkan trilema tenaga, melibatkan keselamatan, kemampuan, dan kelestarian.”
Dalam kenyataan, kementerian berkenaan menyenaraikan beberapa perjanjian utama, termasuk memorandum kerjasama mengenai CCS antara Putrajaya dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun; perjanjian pelaburan ekuiti untuk kilang pengeluaran bahan api bio di Pengerang; dan kerjasama antara Bank Pembangunan Sarawak dan Mizuho Bank untuk kerjasama strategik.
Perjanjian lain melibatkan kajian kebolehlaksanaan pemerangkapan karbon dioksida daripada sumber pelepasan di Malaysia dan perkongsian memajukan pengeluaran tenaga biojisim serta operasi industri getah.
Chang berkata, perbincangan semasa mesyuarat itu tertumpu tiga tonggak utama untuk kerjasama masa depan — memastikan peralihan adil, mempercepatkan mobiliti hijau, dan bahan api penerbangan mampan, serta menggerakkan pembiayaan peralihan.
“Tonggak ini juga mendasari laluan peralihan Malaysia sendiri. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara adalah bukti kepada rangka tindakan hidup merangkumi cita-cita yang sama dan selari dengan prinsip ‘satu matlamat, pelbagai laluan’.”
Beliau berkata, Malaysia sedang membuat persiapan untuk langkah peralihan tenaga seterusnya, termasuk pembangunan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Penganjuran mesyuarat ini di Kuala Lumpur menggariskan komitmen kita, bukan sahaja kepada penyahkarbonan, tetapi juga untuk meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga utama di rantau ini.”