
Duduk terperuk di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan memang membosankan dan mampu menyebabkan tekanan perasaan.
Untuk keluar dari gelombang negatif itu, tercetus pelbagai ilham untuk memanfaat masa yang terluang termasuk menghias rumah hijau menggunakan kabinet kaca.
Ketika melintas di laman Instagram aktres dan pengacara popular Nabila Huda, @kupu_kupu, beliau juga rupanya mula berjinak-jinak dengan hobi menghijaukan sudut rumah itu.
Jelas keterujaan anak perempuan kepada penyanyi rock terkenal Amy Search itu untuk memulakan hobi barunya, lebih-lebih lagi kabinet yang dipesan dijangka tiba hari ini.
Katanya di Instagram, “Projek akan datang. Projek pandemik. Siapa ada buat rumah hijau pakai kabinet kaca Ikea macam ni, boleh kongsi tak dengan Abil peralatan yang korang beli? Mungkin boleh beri cadangan pada Abil apa yang perlu dibeli.
“Abil dah beli semua. Kabinet kaca Ikea pun sampai Jumaat ni. Sangat teruja! Lampu LED, pengudaraan, meter kelembapan semua dah beli.
“Cuma tak tahulah lengkap ke tak barang. Sebelum ni, saya tak pernah minat jaga pokok, tapi sekarang saya macam nak ada pokok dalam rumah and saya hanya nak cuba benda baru,” katanya sekadar ingin berkongsi pandangan dengan peminat dan warganet.
Perkongsian yang menerima lebih 11,300 tanda suka itu turut memaparkan beberapa contoh kabinet kaca yang indah dihiasi tumbuhan hidup pelbagai warna.
Menjenguk di ruangan komen, rata-rata warganet terpegun dan menyokong hobi terbaru pelakon prolifik itu. Malah, tidak kurang juga turut memberikan cadangan yang baik.
Aktres @shieraijoy yang agak asing dengan hobi baru ini turut teruja. “Cantiknya, boleh hidup ye dalam tu. Ooo ada alatnya, bijak,” katanya kagum.
“Ni pokok hidup ke? Macam mana nak siram,” tanya @pemborongdarichina.
Penyanyi Ning Baizura juga kagum dengan dedikasi Nabila terhadap minatnya itu. “Saya mengagumi dedikasi awak. Saya sukakannya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]