Ketum: Ubah kontroversi jadi rezeki petani

Ketum: Ubah kontroversi jadi rezeki petani

Penyelidik USM Darshan Singh berkata ketum berpotensi diolah sebagai ubat sekali gus memberi manfaat kepada petani hasil jualan tanaman itu.

Penyelidik USM Darshan Singh berkata rantau Asia Tenggara bertuah kerana ketum hanya boleh ditemui di wilayah itu dan mendapat permintaan tinggi khususnya dari Amerika Syarikat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penyelidik mencadangkan kerajaan membenarkan ketum dieksport ke luar negara bagi membolehkan tumbuhan itu dijadikan ubat sekali gus menjana pendapatan kepada petani luar bandar.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Darshan Singh, berkata melalui kebenaran itu petani luar bandar yang terkesan dengan harga komoditi tidak menentu akan mendapat manfaat hasil penjualan ketum.

Darshan Singh.

“Kita boleh mula dengan berganjak daripada kontroversi ketum dan dari sana kita cari kaedah untuk menguatkuasakan penanaman serta eksport ketum.

“Kita boleh jual daun ketum berkualiti, pada masa sama jalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk (ubat-ubatan) tahan sakit dan penyalahgunaan opiat,” katanya kepada FMT.

Darshan menjalankan kajian terhadap kesan penggunaan ketum sejak 17 tahun lalu dan mengeluarkan lebih 40 penerbitan mengenai tumbuhan itu.

Buang stigma ketum-dadah

Beliau berkata, rantau Asia Tenggara sebenarnya bertuah kerana tanaman ketum hanya boleh ditemui di wilayah berkenaan dan mendapat permintaan tinggi dari luar negara, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Petani berdepan ketidaktentuan harga getah dan kelapa sawit, jadi pekebun kecil mula berjinak dengan penanaman ketum kerana keuntungan boleh dicapai daripadanya.

“Isunya di Malaysia undang-undang membenarkan ketum ditanam tetapi tidak boleh diproses, saya yakin kita perlu buang stigma ketum adalah dadah,” katanya.

Bagaimanapun, Darshan berkata garis panduan perlu diwujudkan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan ketum ditanam sewenang-wenangnya selain tatacara penanaman dikeluarkan bagi menjamin hasil tuaian yang lebih baik.

“Kuat kuasa undang-undang tuaian ketum supaya lesen hanya diberikan kepada mereka yang sudah menanam. Jangan benarkan ‘orang baharu’ tanam ketum.

“Mereka yang berminat perlu mohon lesen…jika berhasrat untuk mengeksport kita perlu kenal pasti entiti kerajaan atau syarikat swasta yang sedia mengawal selia dan memasarkan ketum dalam bentuk asli,” katanya.

Rawat ketagihan

Setakat ini, kajian Darshan mendapati ketum berpotensi diolah sebagai ubat khususnya untuk mengurangkan kesakitan dan masalah penyalahgunaan opiat atau heroin.

“Kajian kami menunjukkan ketum berpotensi digunakan untuk merawat ketagihan dadah seperti amphetamine dan methamphetamine. Ketika kaedah konvensional merawat ketagihan mempunyai kesan sampingan, penggunaan ketum tiada sebarang kesan,” katanya.

Menurutnya, kajian dijalankan terhadap pengguna di AS menunjukkan produk mengandungi ketum lebih baik berbanding ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketagihan opiat.

Dalam pada itu, Darshan mencadangkan kerajaan tidak lagi melayan pengguna ketum sebagai penjenayah memandangkan kajian dijalankan tidak menunjukkan tumbuhan berkenaan menjurus ke arah penagihan dadah.

“Sebagai contoh orang ramai dibenarkan memiliki daun ketum segar, serbuk atau jus untuk kegunaan peribadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.