Ustaz Ebit Lew, Caprice, sudah-sudahlah

Ustaz Ebit Lew, Caprice, sudah-sudahlah

Caprice seolah memberi bayangan kegagalannya untuk masuk ke Gaza ada kaitan dengan Ebit Lew.

Pertikaian antara dua personaliti terkenal, Ustaz Ebit Lew dan Caprice semakin hangat diperkatakan di media sosial.

Tatkala negara sedang tenat berdepan kesukaran akibat penularan Covid-19, kecoh satu Malaya dengan kisah pertikaian antara pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew dan penyanyi rap yang juga aktivis, Caprice membabitkan misi kemanusiaan mereka di Gaza, Palestin.

Pelbagai andaian, sindiran, tuding menuding hangat diperdebatkan dalam kalangan warganet di media sosial. Rata-rata masih kurang jelas dengan apa sebenarnya yang terjadi.

Beberapa hari lalu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32, memberi bayangan mengenai satu pendedahan yang akan dibuat mengenai mengapa dia tidak dibenarkan masuk ke Gaza yang dikatakan berpunca daripada beberapa pihak atasan dan orang berpengaruh.

Semalam, Ebit Lew akhirnya tampil meluahkan kekesalan dalam satu video yang tular selepas mendiamkan diri susulan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya. Ebit berkata beliau tidak kisah dengan kejian atau tuduhan tidak berasas mana-mana pihak, namun sedih apabila ia turut membabitkan ramai pihak lain.

”Apa yang saya buat adalah demi Allah SWT semata-mata. Kalau orang ugut saya pun, saya tak takut. Setakat kata-kata (tak berasas), saya tak kisah tetapi apabila ramai orang lain terlibat sama (dalam situasi itu), saya jadi sedih,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Dari juara papan kekunci, warganet, rakan artis hinggalah kepada pak menteri, semuanya cuba mencari titik positif meredakan suasana, tidak kurang yang seolah mencurah minyak ke api yang sedang marak.

Lantas, pembantu merangkap pengawal peribadi Ebit Lew, Arief Farhan menerusi beberapa hantaran klip video penerangan menjelaskan, dia tidak faham mengapa bintang rap, Caprice yang masih berada di Kaherah, Mesir melemparkan kata-kata sindiran kepada Ebit, seolah tidak berpuas hati dengan majikannya itu.

Untuk itu dia tampil bagi meleraikan segala kekusutan termasuk menjawab tiga persoalan utama yang dibangkitkan Caprice iaitu foto pemberian mainan kepada kanak-kanak miskin, melutut dan mencium kaki menteri Gaza dan menyekat akaun Instagram (IG) Caprice.

“Pasal isu gambar, ustaz pergi Gaza nak bagi misi bantuan. Tak kan ustaz nak pergi jumpa orang kaya. Mestilah pergi jumpa orang miskin, orang susah. Kenapa Cap nak persoalkan benda tu? Rumah-rumah tu dipilih oleh Palestin Red Cresent, bukannya kita main terjah. Dia cakap orang Gaza semua marah ustaz. Bukan ustaz je amik gambar budak-budak tu. Isu Palestin-Gaza ni dah lama, sebelum ustaz, dah beribu orang amik gambar budak-budak takde kaki, takde tangan. Tapi bila ustaz bagi patung je, terus kena.

“Isu ustaz melutut depan menteri luar Gaza ni, saya tak nampak langsung ustaz melutut, cium kaki macam yang Cap cakap. Saya takut saya terlepas pandang, saya tanya ustaz sendiri betul ke apa yang Cap cakap ni, ustaz kata takde. Ustaz tak akan buat macam tu, saya tahu ustaz macam mana.

“Kemudian isu kena block, dah kau sakitkan hati ustaz, sebut pasal ayah dia lagi. Kemudian tuntut ustaz buat permohonan maaf secara terbuka, tak tahu lah apa salah ustaz sampai kena buat permohonan maaf kepada penduduk Gaza,” kata Arief.

Aktres versatil Nabila Huda Suhaimi turut memberi respon dalam ciapannya berhubung isu itu. “Mesti ada sebab mengapa Allah SWT tak buka jalan tetapi kenapa buka aib orang lain,” katanya.

Aktor Sharnaaz Ahmad yang kecewa dengan perbalahan membabitkan dua tokoh berkenaan turut menasihati Caprice untuk menjadi lebih matang.

“Jangan jadi perangai budak-budak la Mat! Kita dah besar, kita ni mewakili negara Islam,” katanya yang turut mengajaknya pulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turus mengulas perselisihan faham antara dua sahabat itu.

“Kedua-dua mereka sahabat saya, dan pernah datang bertemu saya. Hal seperti ini (salah faham) seelok-eloknya berdamai,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Terdahulu Caprice mendedahkan konflik antaranya dengan Ebit Lew bukan disebabkan dia mengalami kemurungan.

Jelasnya gangguan fikiran itu berlaku susulan rasa kecewa kerana usaha jihadnya diganggu pihak luar.

Caprice dikatakan akan membuat Instagram Live pada 21 Julai ini bagi membongkar hal sebenar. Apa pun sama-sama kita nantikan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.